Jom Sertai Keluang Man Fun Run yang akan berlangsung pada 18 Mei 2025 dan berlari bersama Borhan! 
LAMAN UTAMA

Malas Kerja, Tergamak Bunuh Bapa Sebab Selalu Kena Marah

Gempak 30/08/2023 | 03:55 MYT
Tidak puas hati kerana seringkali dimarahi dan dihina disyaki antara motif sorang lelaki membunuh bapanya.
Mayat itu kemudiannya dibalut dengan menggunakan langsir dan dibuang di tepi jalan di hadapan sebuah kondominium di Sungai Way, Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, mangsa berusia 70-an itu selalu memberi tekanan terhadap suspek yang malas bekerja.
“Mangsa juga sering menegur suspek yang gemar minum air beralkohol," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pada Selasa.
Mohamad Fakhrudin berkata, dalam kejadian 12.30 tengah malam itu, suspek berusia 40-an itu disyaki mabuk telah bertindak memukul bapanya dengan menggunakan penyodok pasir sehingga menyebabkan kematian.
"Kita telah menerima maklumat daripada saudara mangsa bahawa telah menjumpai mayat lelaki warga emas itu di lokasi kejadian pada jam 2.15 pagi Sabtu," katanya.
Beliau berkata, bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan anggota polis dari IPD Petaling Jaya telah menahan suspek di Bandar Sunway, di sini, pada jam 9.10 pagi, hari sama.
“Semakan lanjut mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah berkaitan kes pecah amanah dan memiliki senjata berbahaya," ujarnya
Mohamad Fakhrudin berkata, polis turut merampas penyodok pasir dan sebuah kereta Perodua Kelisa yang disyaki digunakan suspek untuk membawa mangsa dan dibuang di tepi jalan.
"Suspek telah direman tujuh hari bermula Ahad hingga Sabtu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut boleh menghubungi balai polis berhampiran atau Bilik Gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222," jelasnya.
SINAR HARIAN
#Anak #Bunuh #Jenayah #Polis #Bapa #Bunuh Bapa