Berita
Malaysia Ada 28 Hari Untuk Capai Sifar COVID-19, Kini Giliran Seluruh Rakyat Malaysia Jadi Pejuang Barisan Hadapan!
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham mengumumkan negara kita memerlukan tempoh 28 hari untuk diisytiharkan bebas COVID-19.
Memandangkan lebih banyak sektor ekonomi dibenarkan beroperasi semula dan diberikan kelonggaran (dengan pematuhan SOP), ramai juga yang mempersoalkan sama ada negara kita benar-benar mampu mencapai angka sifar dalam tempoh masa berkenaan.
Ya benar, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) membolehkan orang ramai kembali kepada rutin lama seperti bersenam di gymnasium, balik kampung dan macam-macam lagi.
Perkhidmatan pengangkutan awam seperti penerbangan, bas ekspres, e-hailing, kenderaan persendirian dan teksi juga telah dibenarkan kembali beroperasi pada kapasiti penuh dengan syarat mematuhi SOP.
Dengan pergerakan masyarakat yang kembali sibuk di merata tempat, janganlah kita sesekali cuai dalam mematuhi arahan kerajaan, bukan kerana takut dikenakan saman atau kompaun, tapi takutlah pada penularan wabak yang boleh meragut nyawa ini.
Usahlah kita mengambil kesempatan terhadap kelonggaran yang telah diberikan oleh kerajaan menerusi PKPP ini, kerana pihak kerajaan sudah mendengar dan bertoleransi dengan kehendak orang ramai.
Setiap individu haruslah memainkan peranan penting dalam mengatur kehidupan harian kerana jika kita terleka, musuh yang tidak kelihatan ini akan kembali menyerang pada bila-bila masa sahaja.
Tiada lagi pihak polis mahupun tentera yang mengawal sempadan negeri dan lalu lintas, petugas kesihatan juga diberi peluang untuk mengambil cuti secara berperingkat dan mengikuti sesi kaunseling.
Biarkan mereka berehat kerana sekarang adalah giliran kita sebagai rakyat Malaysia untuk mengantikan mereka di barisan hadapan.
Ingat, patuhlah kepada semua SOP dimana sahaja kita berada, utamakan penjarakan sosial, jaga kebersihan tangan dengan membasuh menggunakan sabun selama sekurang-kurangnya 20 saat, atau gunakan 'hand sanitizer' yang mengandungi kandungan alkohol antara 60 hingga 80 peratus.
Apa yang penting adalah kesedaran dan tanggungjawab dalam diri sendiri, sudah tentu semua merindui norma kehidupan lama yang bebas virus, jadi, marilah berjuang habis-habisan dalam masa 28 hari ini, kita boleh menang!