Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Berita

Malaysia Gantung Sementara Kemasukan Rakyat China Dari Wuhan, Wubei Dan Sekitarnya

Fiza Kamarudin 27/01/2020 | 14:33 MYT
Kerajaan Malaysia telah mengambil keputusan untuk menggantung sementara kemasukan rakyat China dari bandar Wuhan dan wilayah Hubei serta bandar sekitarnya, susulan penyebaran coronavirus baharu yang merebak ke banyak negara.
Pejabat Perdana Menteri dalam sebuah kenyataan memaklumkan, penggantungan itu membabitkan semua kemudahan Imigresen kepada warga China dari bandar terbabit, meliputi kemudahan tanpa visa, visa semasa ketibaan (VOA), e-visa dan visa manual.
Bagaimanapun kemudahan imigresen berkenaan akan diberikan semula selepas keadaan kembali normal.
"Keputusan dibuat selepas mengambil kira perkembangan terkini kes jangkitan novel coronavirus 2019 (2019-nCoV) di negara China, khususnya di wilayah Hubei dan ia adalah berkuatkuasa serta merta," kata kenyataan itu.
Kenyataan itu juga menyebut, Wisma Putra akan menyelaras pelaksanaan keputusan ini bersama pihak kerajaan China.
"Kerajaan sudah mengikut prosedur ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan mendapat nasihat pakar-pakar untuk menghadapi dan membendung jangkitan ini dari merebak dengan meluas.
"Pemantauan sudah dibuat dari semasa ke semasa. Pelbagai pihak sedang melakukan usaha yang terbaik untuk mencegah sebarang penularan," katanya.
Katanya, kerajaan juga mengingatkan semua pihak agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak sah atau palsu berkaitan coronavirus yang boleh menyebabkan ketidaktenteraman kepada masyarakat umum.
Foto: BH Online, Instagram @state_of_nine_fc
#China #Corona Virus #Wuhan
;