Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

"Malaysia Tak Boleh Berdiam Diri" - Isu Pesilat Negara Dikasari Di Filipina, Syed Saddiq Mahu Bertindak!

Amri Hassan
05/12/2019 10:24 MYT
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abd Rahman menegaskan bahawa Malaysia tidak boleh berdiam diri ekoran kejadian yang menimpa pesilat negara Muhammad Faizul M Nasir pada pusingan awal Kelas Putra B, di Sukan SEA 2019 pada Selasa.

Tambah Syed Saddiq, beliau sudah mengarahkan kementeriannya agar mengambil tindakan dan menghantar nota protes berhubung kejadian itu.

"Malaysia tidak boleh berdiam diri. Saya telah arahkan pihak Malaysia untuk ambil tindakan dan hantar nota protest.

"I know you’ve tried your best Faizul," tulisnya menerusi akaun Twitter.

Faizul yang merupakan Ketua Pasukan Silat temasya kali ini dilihat terbaring lebih tiga minit tanpa mendapat bantuan perubatan ketika wasit sedang mengira mata, sebelum mengumumkan kemenangan 5-0 untuk peserta tuan rumah, Dines Dumaan.

Susulan kejadian itu, pesilat elit negara itu mengalami kecederaan di bahagian muka sehingga tidak sedarkan diri.

Insiden itu terus menimbulkan pelbagai kecaman daripada netizen di media sosial susulan sekretariat pertandingan didakwa bertindak lewat untuk memberikan bantuan perubatan segera.

Mereka juga menganggap ia sesuatu yang tidak adil dan tindakan perlu diambil secepat mungkin terhadap pesilat Filipina itu, yang juga didakwa berkelakuan kasar terhadap Faizul.

Faizul yang juga pesilat pertama turun ke gelanggang Sukan SEA menerima rawatan di Pusat Perubatan Clark City dan masih perlu dipantau rapi walaupun sudah dalam keadaan stabil.

Pada masa sama, Syed Saddiq memaklumkan, insentif berjumlah RM20,000 akan diberikan kepada atlet pemenang pingat emas dalam temasya Sukan SEA 2019.

Terkini, kontinjen Malaysia sudah mengutip pingat emas yang ke-19 selepas skuad boling padang negara menewaskan Brunei 24-6 dalam acara berempat lelaki pada pagi Rabu.

Sumber: Astro Awani
#Syed Saddiq #Silat #Sukan SEA 2019