Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Malaysian Airlines Kini Penerbangan Rasmi Manchester United

Gempak
25/03/2024 11:55 MYT
Malaysia Airlines (MAS), dalam usaha penting untuk meningkatkan jangkauan global, memeterai perkongsian strategik berbilang tahun dengan kelab bola sepak Manchester United (Man Utd) sebagai Syarikat Penerbangan Komersial Rasmi untuk memanfaatkan komuniti besar kelab itu, melebihi 1.1 bilion peminat dan pengikut di seluruh dunia.

Pengarah Urusan kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG), Datuk Kapten Izham Ismail berkata, kerjasama ini menyatukan dua ikon global, iaitu Malaysia Airlines dan Man Utd, dan akan mencipta pengalaman yang tidak dapat dilupakan dalam kalangan peminat dan pelanggannya.

Audiens seluruh dunia

"Berada seiring dengan kelab yang diiktiraf di peringkat global seperti United meletakkan Malaysia Airlines di hadapan audiens yang ramai di seluruh dunia, mendorong pengiktirafan jenama, terutama di Eropah dan Asia Tenggara yang mempunyai banyak peminat United,” katanya baru-baru ini.

Sehubungan itu, Izham berkata, MAS menunggu peluang yang mengujakan susulan kerjasama ini dan keceriaan yang akan diberikan kepada peminat bola sepak di seluruh dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif Alliances and Partnerships Manchester United, Victoria Timpson, yang turut berucap pada majlis itu berkata, Manchester United telah menjalin hubungan baik dan sudah lama terjalin dengan Malaysia, dengan sokongan yang penuh bersemangat dari seluruh negara.

Komuniti penyokong terbesar

"Kami mempunyai tiga kelab penyokong rasmi Malaysia, dengan cawangan di Kuala Lumpur mempunyai antara komuniti penyokong terbesar kelab itu, mencerminkan minat negara terhadap United,” katanya.

Beliau berkata kelab itu berbesar hati untuk menyambut baik kehadiran MAS dalam keluarga rakan kongsinya dan tidak sabar-sabar untuk berkongsi dengan peminat di seluruh dunia mengenai perkhidmatan syarikat penerbangan itu yang dipercayai, mesra dan suka menerima tetamu.

Mengulas selanjutnya, Izham berkata perkongsian ini berperanan sebagai pengupaya penting dalam mencapai aspirasi Perniagaan Jangka Panjang 2.0 MAG, membolehkan untuk meneroka kerjasama komersial melebihi had perkongsian syarikat penerbangan tradisional.

"Kerjasama strategik ini berperanan sebagai laluan untuk kami ke peringkat global, membolehkan kami meluaskan kehadiran kepada pelbagai audiens di seluruh dunia," katanya.

Beliau berkata melalui perkongsian ini, MAG bersedia untuk memperluas layanan baik Malaysia yang amat terkenal kepada komuniti besar Man Utd yang melebihi 1.1 bilion peminat dan pengikut di seluruh dunia, termasuk 577 juta peminat di pasaran utama Malaysia Airlines.

Sumber: Bernama menerusi Sinar Harian

BERITA TRENDING: Rai Pesta Gol Manchester City, Julian Alvarez Terkejut! Tak Perasan Gigi Depan Hilang

BERITA TRENDING: Tinggalkan Manchester United, Cristiano Ronaldo Sah Sertai Kelab Arab Saudi Al Nassr!

#MAS #Manchester United #Malaysian Airlines #Penerbangan Rasmi
;