Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

'MALBATT: Misi Bakara' Bongkar Kisah Benar Kejadian Black Hawk Down - "Filem Ini Memang 90 Peratus Adalah..."

Asyikin Mayudin
08/08/2023 11:50 MYT
Mengambil inspirasi daripada kisah benar, MALBATT: Misi Bakara kini sudah bersedia untuk menggegarkan pawagam di seluruh negara pada 24 Ogos 2023.

Mengusung genre aksi dan patriotik, filem arahan Adrian Teh berdasarkan kisah benar tahun 1993 dan menyelami keberanian anggota 19 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Mekanis dari Batalion Malaysia (MALBATT) yang menyelamatkan askar-askar Amerika yang terperangkap di Pasar Bakara, Mogadishu, Somalia dalam kejadian Black Hawk Down.

Menurut Adrian, dia hanya berdepan dengan kesukaran dari segi membuat skrip kerana ingin memastikan momen dan pengorbanan setiap watak disampaikan dengan baik memandangkan filem itu berdasarkan kisah benar.

"Bagi saya, kesukaran ketika nak buat skrip sebab nak pastikan momen, pengorbanan setiap watak disampaikan dengan betul. Dari segi screen time tak ada masalah.

"Filem ini memang 90 peratus adalah benar. Benda-benda kecil itu pun memang benar berlaku sebagai contoh dialog Hairul yang mengatakan Malaysia berada di tengah-tengah antara Thailand dan Singapura.

"Tapi ada beberapa bahagian diletakkan sedikit hiburan untuk pastikan ia lebih dekat dengan penonton terutama watak Isa (lakonan Safwan Nazri)," kata Adrian ketika sidang media previu filem itu yang didakan di GSC Cinema, IOI City Mall 2, Putrajaya pada Selasa.

Untuk meraikan filem yang bakal pecah panggung ini, malam gala yang gemilang telah
turut dihadiri tokoh ulung termasuklah YB Fahmi Fadzil, Menteri Komunikasi dan Digital, YB Teo Nie Ching, Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital.

Selain itu, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato' Sri Haji Affendi Buang, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Mohammad Ab Buang, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Mohammad Ab Rahman, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan, Datuk Kamil Othman, selaku Pengerusi FINAS dan Rozita Waty Ridzuan, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif FINAS

Antara pelakon-pelakon ternama yang terlibat adalah Bront Palarae, Shaheizy Sam, Hairul Azreen, Zahiril Adzim, Iedil Dzuhrie, Adlin Aman Ramlie, Fauzi Nawawi dan Tony Eusoff.

Di majlis tersebut, turut hadir memberi sokongan adalah rakan promosi filem MALBATT : Misi Bakara iaitu anak syarikat di bawah Berjaya Corporation, 7Eleven Malaysia, Starbucks Malaysia, Kenny Rogers Roasters, Krispy Kreme Doughnuts Malaysia dan Cosway Malaysia.

MALBATT: Misi Bakara dipersembahkan oleh Tentera Darat Malaysia bersama enam syarikat penerbitan gergasi iaitu Berjaya Pictures, Act 2 Pictures, Fast Bikes, Aurum Investments Limited, Golden Screen Cinemas dan Astro Shaw.

Turut hadir di majlis pelancaran tersebut adalah Tan U-Jiun, wakil daripada Berjaya Corporation, Syed Ali Shahul Hameed, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Berjaya Land, Budi Citawan, Wan Hanafi, Pengarah Urusan Berjaya Pictures dan Ketua Pegawai Eksekutif Act 2 Pictures, Dato’ Hj Razak Al-Malique Hussain, Ketua Pegawai Eksekutif Fast Bikes, Carla Soong, wakil Aurum Investments Limited, Koh Mei Lee, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Golden Screen Cinemas dan Raja Jastina Raja Arshad, Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Perniagaan Melayu Nusantara.

MALBATT: Misi Bakara menelusuri kisah sebenar keberanian dan dedikasi pahlawan-pahlawan Malaysia yang sanggup mengatasi segala rintangan untuk menegakkan nilai-nilai patriotisme dan solidariti.

Ia merupakan filem Malaysia pertama yang ditayangkan di layar IMAX dan juga tersedia dalam format 4DX dan Dolby Atmos.
#Malbatt #MALBATT:MISI BAKARA
;