Vokalis kumpulan Exists, Mamat atau nama sebenarnya Mohd Ali Kamarudin, 46, didakwa di Mahkamah Sesyen dan Majistret Johor Bahru hari ini, atas dua pertuduhan memiliki dan mengambil dadah pada 2019.

Bagaimanapun pelantun lagu Untukmu Ibu itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa, di hadapan Hakim, Fatimah Zahari dan Majistret, Hidayatul Syuhada Shamsudin.

Menerusi laporan oleh Harian Metro, berdasarkan kertas pertuduhan pertama, Mamat didakwa memberi kepada diri sendiri dadah Methamphetamine kira-kira 2 pagi, 9 September 2019 di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Johor Bahru Utara.

Pendakwaan dibuat mengikut seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah seksyen 39C (1) (b) akta sama.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Bariah Jalil. Manakala Mamat diwakili peguam Azlina Abdul Aziz.

Manakala bagi pertuduhan kedua, Mamat didakwa memiliki dadah jenis Methamphetamine dengan berat 0.17 gram pada 11.35 malam, 8 September 2019 di Taman Perling.

Pertuduhan kedua dibuat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah seksyen 12 (3) akta sama.

Berita Trending: Fizi Ali Tak Tahan Sebak, Menangis Rindu Anak - “Hampir Dua Bulan Tak Jumpa…”


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqillah Ahmad Rofaei, dan Mamat diwakili peguam sama.

Terdahulu, di Mahkamah Sesyen, peguam mewakili tertuduh memohon agar anak guamnya dirujuk bagi mendapatkan rawatan psikiatri di Hospital Permai mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

Fatimah kemudian membenarkan permohonan itu dan menetapkan tarikh 22 Februari depan untuk sebutan semula kes termasuk laporan perubatan.

Sekadar info, Mamat juga mempunyai kesalahan berulang memberikan dadah kepada diri sendiri pada tahun 2016 dan 2018.

Sumber: Harian Metro