Laman Utama
#MamiPiqahCorner: Anak Dipaksa Berpuasa Di Sekolah Sehingga Lemah Dibawa Ke Klinik, Doktor Ini Pesan Ada Caranya…
Bila tibanya bulan Ramadan, ibu bapa pasti gembira apabila dapat mengajak dan melatih anak-anak ikut sama berpuasa.
Namun, setiap anak terutama kanak-kanak di usia yang masih kecil mempunyai ketahanan yang berbeza-beza.
Mami Piqah faham ibu bapa pasti teruja dan bangga apabila anak-anak dapat menjalani ibadah puasa ini sepenuhnya tapi lain pula cerita yang dikongsikan oleh seorang doktor ini.
Menerusi perkongsian di laman Facebook seorang yang dipercayai ahli perubatan dikenali sebagai Kamarul Ariffin Nor Sadan berkongsi mengenai seorang pesakit di kliniknya.
Menurutnya dia didatangi seorang ibu yang membawa anaknya dalam keadaan sangat lemah. Katanya kanak-kanak yang berusia lingkungan 6 hingga 7 tahun itu dipaksa berpuasa di sekolah.
“Si anak baru berumur 6-7 tahun. Baru nak mengenal puasa. Sekolah pagi. Ibu tak sediakan sarapan, sebab sedang ajar nak berpuasa, tapi dibekalkan air dan roti untuk ke sekolah.
“Dipesan pada anak, jika tak tahan berpuasa, maka berbukalah dengan bekal yang dibawa. Namun begitu, sehingga si ibu ambil anaknya pulang di waktu tengah hari, anaknya masih belum berbuka. Jika tidak kerana anaknya kelihatan begitu lemah, pasti si ibu berasa senang hati.
“Malangnya, si anak ni nampak sangat lemah. Dia kata benci berpuasa. Dia benci sekolah. Dia benci kawan-kawan. Anak tu kata dia tak nak berpuasa lagi selepas ini, dan tak mahu lagi ke sekolah,” ceritanya.
Kanak-kanak itu mendakwa makanan dan minumannya disimpan oleh cikgu kerana tidak dibenarkan makan ketika di sekolah di bulan Ramadan.
“Bila ditanya mengapa, si anak beritahu makanan dan minumannya di ambil oleh cikgu. Siapa yang tak berpuasa ditegur di khalayak kelas. Ada rakan sekelas yang tertawakan mereka yang tak puasa.
“Lepas sekolah habis, baru bekal makanan dipulangkan. Dipesan sekali lagi oleh cikgu agar berpuasa sehingga masuk waktu berbuka. Si anak hanya menurut, kerana takut dimarahi,” beritahunya.
Dari cerita yang diberitahu, doktor itu berkongsi pendapatnya supaya anak-anak tidak dipaksa sebaliknya perlu bersikfat mengajak dan memujuk.
“Pendapat saya, bila mengajar kanak-kanak lakukan ibadah, hendaklah ia bersifat mengajak dan memujuk. Tak usahlah ia dalam keadaan memaksa atau dengan cara yang memalukan mereka.
“Kita semua mahukan anak-anak yang membesar dengan cinta terhadap agama. Kita kena lakukannya dengan berhikmah, kerana jika sudah terbit benci, maka sukar nak disemai cinta di kemudiannya.
“Mereka mungkin mampu berpuasa sampai ke Maghrib, namun ia perlukan persediaan serta penyesuaian berperingkat untuk elakkan risiko kemudaratan.
“Kita ada sekitar 30 hari, InsyaAllah cukup masa untuk mendidik, cukup masa untuk melatih, cukup masa untuk memberi sokongan. Sampai masa nanti, kita raikan kejayaan kita sama-sama,” kongsinya.
Must-Watch Video