Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

#MamiPiqahCorner: Anak Menangis Ke Sekolah Itu Normal? Paedtrik Ini Kongsi 4 Cara Atasinya

Syafiqah Jalal
29/03/2022 12:53 MYT
Minggu ini sudah memasuki minggu kedua buat murid darjah 1 ke sekolah dan Mami Piqah lihat pelbagai ragam murid-murid.

Bukan sahaja murid tahun 1, anak yang masuk tadika atau pra-sekolah juga dilihat menunjukkan pelbagai ragam untuk memulakan sesi persekolahan untuk tahun 2022.

Antara ragam yang biasa dilihat buat murid yang pertama kali ke sekolah adalah menangis kerana ditinggalkan ibu bapa ke sekolah.

Terbaharu tular mengenai kisah seorang ibu yang berkongsi kisah anaknya berusia lima tahun menangis sepanjang sesi persekolahan sehingga gurunya akui tidak sanggup untuk menerimanya bersekolah.

Dilema juga ibunya sehingga tidak tahu apa yang perlu dilakukan dan runsing memikirkan anaknya yang masih belum bersedia untuk ke sekolah.

Perkongsian itu mendapat perhatian ramai termasuk Pediatric Occupational Therapist, Maryam Jamadi apabila membuat satu ulasan mengenainya di akaun Facebook miliknya.

Menurut Maryam, situasi kanak-kanak usia 5 tahun masih menangis untuk ke sekolah adalah normal.

Ia normal terhadap anak yang tak pernah dihantar taska atau pengasuh, jarang keluar rumah atau ibunya seorang suri rumah dan memang sentiasa bersama dengan anak.

Maryam berkongsi punca-punca anak itu menjadi berat dan sukar untuk berpisah dengan ibu bapa.

Namun apa yang menarik Mami Piqah adalah perkongsiannya bagaimana hendak mengatasi masalah kanak-kanak sebegini.

Berikut 4 cara yang dikongsikan:

1. TARIK MINAT ANAK UNTUK BELAJAR

Minat untuk belajar ini perlu dipupuk sejak kecil lagi dengan cara

- Selalu bacakan buku dengan anak.

- Cerita kepentingan ke sekolah.

- Beri anak tengok cerita situasi kanak-kanak di sekolah.

- Beritahu segala kemungkinan dan situasi yang mungkin boleh berlaku di sekolah supaya anak bersedia contohnya cara nak pergi tandas, kalau kawan ambil barang dan sebagainya.

Tetapi pendapat saya, tidak adil untuk kita terus beri komen pada mak ayah seakan-akan tidak pernah tarik minat anak untuk belajar sekiranya anak menangis ke sekolah.

Menangis ke sekolah dan minat untuk belajar adalah topik yang berbeza.

2. MENANGIS ITU NORMAL

- Kalau setiap kali anak menangis kita marah dia menangis atau suruh berhenti menangis serta merta, percayalah anak memang tak akan berhenti menangis malah akan lagi lama menangis.

- Beritahu anak yang kita faham kenapa dia menangis dan cerita juga kisah kita sendiri menangis ke sekolah (kalau ada).

- Beri masa anak menangis, kita diam sahaja teman anak menangis. Apabila anak sudah lega dan puas menangis, barulah kita ajar cara untuk tenangkan diri. Sentiasa beri sokongan terhadap keperluan emosi anak.

3. TANYA KENAPA ANAK TAK MAHU KE SEKOLAH

- Pasti ada punca kenapa anak menangis,

Tak mahu bangun pagi?

Mengantuk sebab tidur lewat?

Takut dengan cikgu?

Kawan-kawan bising?

Tak suka duduk lama?

Bosan?

4. CARI JALAN PENYELESAIAN

- Mengantuk sebab tidur lewat?

Pastikan anak tidur cukup, 3-5 tahun (10-13 jam sehari) 6-12 tahun (9-12 jam sehari).

- Takut dengan cikgu?

Beritahu yang cikgu tak marah, tapi suara cikgu memang kuat.

- Tak suka duduk lama?

Minta anak bangun awal sedikit dan minta dia berlari, melompat keliling rumah sebelum datang sekolah. Penuhkah tangki keperluan bergerak anak sebelum anak perlu duduk lama.

- Bosan?

Beri anak bawa 1 mainan ke sekolah (kalau dibenarkan) ataupun belikan keychain jenis "fidget toy" untuk tenang anak bila dia bosan.

- Takut suasana baru?

Boleh bawa 1 barang dari rumah yang anak memang sayang, supaya dia rasa selamat.

Dalam kes anak menangis ke sekolah, tiada sesiapa yang salah. Kita pun tak tahu cerita dari pihak guru, mungkin bilangan murid terlalu ramai untuk guru periksa masalah setiap seorang murid. Toleransi mendengar budak menangis juga berbeza setiap orang.

#Anak #sekolah #Menangis #Ibu #Pelajar #Murid #'Mami #Piqah #Darjah 1
;