Pasangan yang belum mendapat anak dan sedang mencuba untuk hamil pasti bimbang jika ada perkara yang akan mengganggu tahap kesuburan mereka.

Baru-baru ini, seorang doktor pakar sakit puan dan infertiliti, Dr Maiza Tusimin berkongsi tentang salah satu persoalan daripada pesakitnya yang mendakwa vaksin Covid-19 mengganggu kitaran haid.

Pun begitu, Dr. Maiza menjawab gangguan kitaran haid membawa banyak faktor yang boleh mengganggu hormon wanita dan tiada kajian yang kukuh mengatakan dakwaan berkenaan.

“Peningkatan tekanan, perubahan emosi, berat badan, senaman, dan perubahan gaya hidup boleh mempengaruhi kitaran haid.

“British Medical Journal (BMJ), 2021 melaporkan kebanyakan wanita yang mengalami gangguan haid adalah bersifat sementara. Kitaran haid mereka kembali normal pada kitaran berikutnya dan hingga kini tiada bukti kukuh yang mengaitkan vaksin Covid-19 dan kesuburan,” jawabnya.

Dr Maiza berkongsi persoalan dan pendapatnya di akaun Instagram miliknya.

Dalam masa yang sama beliau memberitahu apa yang pasti wanita yang pernah dijangkit wabak tersebut akan mengalami gangguan kitaran haid.

“Data klinikal di Wuhan, China, melaporkan wanita yang pernah dijangkiti Covid-19 dengan gejala yang teruk mengalami kitaran haid yang lebih lama dan panjang.

“Data ini juga mengaitkan jangkitan Covid-19 dengan tahap estrogen yang lebih rendah di kalangan wanita yang mengidap gejala yang teruk,” jelasnya.

Pun begitu, Dr Maiza menasihati pesakitnya itu agar membuat pemeriksaan lanjut di klinik bersama doktor pakar.

Selain itu beliau menegaskan vaksin adalah perlindungan terbaik buat pasangan yang sedang mencuba untuk hamil

“Jadi jika kitaran haid terjejas atau bercelaru atau tidak datang langsung (lebih dari 2 kitaran) puan dinasihatkan untuk lakukan ujian kehamilan / UPT serta berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan lanjut

“Vaksinasi adalah "perlindungan terbaik" terhadap Covid-19 terutama bagi pasangan yang sedang cuba mendapatkan anak.

"Lengkapkan vaksinasi Covid-19 sebelum hamil kerana wanita hamil yang tidak divaksinasi berisiko lebih tinggi mengidap jangkitan wabak itu dengan tahap yang kritikal dan boleh mengancam nyawa ibu serta janin yang dikandung,” nasihatnya.

A post shared by dr.mai (@dr.maiza)