Laman Utama
#MamiPiqahCorner: Kanak-Kanak Mati Kerana Dipaksa Berpuasa…Nak Didik Ke Nak Dera Anak?
Selamat berpuasa Mami Piqah ucapkan kepada semua umat Islam yang pastinya ternanti-nantikan bulan Ramadan pernah barakah ini.
Bila bulan Ramadan ni, kaum ibu lah yang paling sibuk nak sediakan juadah sahur dan berbuka untuk keluarga. Masa ini lah hendak berikan yang terbaik untuk suami dan anak-anak.
Cakap pasal anak-anak yang berpuasa, Mami Piqah nak tanya seawal usia berapakah ibu bapa mendidik anak berpuasa? Apa yang Mami Piqah pernah dengar dari pengalaman ibu-ibu, ada anaknya yang seawal 5 tahun sudah berpuasa penuh, hebat!
Namun pernahkah ibu bapa terfikir tahap kemampuan anak-anak ini untuk berpuasa? Yelah setakat mana mereka boleh tahan lapar? Mereka kan masih kecil dan sedang membesar?
Mami Piqah faham kanak-kanak juga seronok untuk rasa kebersamaan untuk berpuasa bersama ahli keluarga lain tapi mereka sendiri tidak pasti kemampuan mereka.
Apa yang penting jangan dipaksa, kerana Mami Piqah ada terbaca satu kes beberapa tahun lepas di Arab Saudi seorang kanak-kanak 7 tahun dikejarkan ke hospital gara-gara dipaksa berpuasa.
Budak itu dikejarkan ke hospital dua jam sebelum waktu berbuka tetapi disahkan mati sebaik tiba di wad kecemasan. Dia dilaporkan telah tidur sebelum itu tetapi ibu bapanya kemudian gagal mengejutkannya.
Ngeri pula Mami Piqah dengar, bermula dengan hanya mahu mendidik anak belajar berpuasa tetapi berakhir dengan tragedi hitam yang pasti menjadi mimpi buruk oleh ibu bapanya sampai bila-bila.
Jadi, Mami Piqah rasa dalam hendak mendidik anak tentang agama… Ibu bapa perlulah faham dahulu konsepnya. Dalam Islam, anak-anak disuruh untuk menunaikan solat sewal usia 7 tahun tetapi berpuasa ketika mereka cukup umur atau baligh.
Mami Piqah rasa tak salah jika mahu mendidik anak berpuasa seawal usia 7 tahun tetapi mereka perlu lah dipantau dan diberi makanan berkhasiat secukupnya.
Mungkin boleh cuba dengan berpuasa separuh hari atau setakat mana sahaja yang mereka mampu asalkan mereka rasa kebersamaan ketika bersahur dan berbuka.
Tapi Mami Piqah faham juga ada kanak-kanak yang teruja juga hendak berpuasa penuh. Jika begitu, ibu bapa perlu pantau dah sering bertanya adakah mereka mampu atau lihat tahap kelemahan mereka untuk meneruskan ibadah tersebut.
Kesimpulannya, tak salah mendidik anak-anak berpuasa tapi perlu ada ilmu dan membuat persediaan secukupnya sebelum meminta mereka melakukan ibadah ini. Ramai juga yang bimbang jika dipaksa, bila besar nanti mereka hanya tahu berpuasa tapi lupa pula akan ibadah solat yang wajib.
NOTA: #MamiPiqahCorner merupakan pandangan peribadi penulis dalam membincangkan mengenai isu kekeluargaan serta permasalahan yang sering dihadapi ibu bapa dalam membesarkan anak-anak seiring dengan peredaran dan kemodenan semasa
Must-Watch Video