Laman Utama
#MamiPiqahCorner: Salahkah Pakai Seluar Ketika Berpantang? Doktor Kata Lain, Mak Di Kampung Lain Pula Caranya…Mana Satu Betul?
Isu berpantang selepas bersalin ini sering kali diperdebatkan oleh kaum wanita sejak dahulu lagi.
Setuju tak kalau Mami Piqah kata cara berpantang setiap wanita itu berbeza dipengaruhi oleh latar belakang atau asal usul keluarga mereka serta gaya hidup mereka.
Maksudnya setiap negeri mempunyai cara berpantang yang berbeza dan tersendiri mengikut amalan datuk nenek mereka dari dahulu kala.
Selain itu, dari pemerhatian Mami Piqah gaya hidup juga mempengaruhi cara berpantang mereka. Jika keluarga itu sudah lama berada di kota raya dan mempunyai pendidikan yang tinggi selalunya amalan berpantang mereka lebih moden.
Terbaharu, timbulnya lagi isu memakai seluar ketika berpantang…semuanya gara-gara pelakon Scha Alyahya dilihat selesa dengan seluar jeans ketika membawa anak keduanya keluar melakukan pemeriksaan di sebuah hospital swasta di ibu kota.
Foto Scha itu mengundang kecaman netizen yang rata-ratanya daripada kaum wanita. Ia menjadi persoalan adakah selesa wanita yang baru lepas bersalin memakai seluar sedangkan luka mereka belum sembuh.
“Boleh ke pakai seluar masa berpantang? Tak sakit ke?”tanya salah seorang warganet.
Namun Scha yang ketika itu baru seminggu bersalin memakumkan seluar denim yang dipakai itu adalah maternity jeans yang digunakan ketika hamil sebelum ini.
Mami Piqah tak pelik jika ramai yang mempersoalkan ‘uniform berpantang’ Scha kerana ramai yang di antara kita sudah biasa dengan pandangan kain batik pada wanita selepas bersalin.
Namun perlu faham, Scha dikenali sebagai wanita moden dan mungkin dia tidak biasa memakai kain batik, bimbang pula terlondeh ketika berjalan! Malu pula…
Bukan sahaja Scha, Mami Piqah percaya ramai wanita moden sekarang tidak tahu memakai kain batik kerana tidak pernah diajar sekalipun oleh keluarga mereka. Jadi, asing buat mereka.
Bagaimana pun persoalannya, sedar tak apa fungsi pakaian ketika berpantang ni? Pertama sekali Mami Piqah rasa amat penting jika ia selesa kepada ibu yang baru bersalin ni.
Jika tidak selesa manakan ibu-ibu yang lepas bersalin ni selamba je pakai seluar ketika berpantang. Kenapa perlu selesa? Ya lah, mereka yang uruskan diri dan anak mereka jadi nak bergerak tu kenalah selesa…ya tak?
Usah lah dipersoalkan isu yang remeh ni…yang penting dalam tempoh berpantang ni tubuh badan dan emosi ibu-ibu perlulah sihat.
Cakap pasal berpantang sihat, lain pula yang Mami Piqah dengar dari doktor… Kalau tanya doktor, tiada pula istilah berpantang cara tradisional orang Melayu ni.
Kata doktor yang Mami Piqah jumpa sebelum ni yang penting ibu-ibu harus mengamalkan pemakanan dan gaya hidup sihat sahaja.
Mami Piqah suka dengan perkongsian dari seorang doktor sakit puan iaitu Dr. Maiza Tusimin menerusi akaun Instagram miliknya.
Dr. Maiza ada menggariskan panduan cara pemulihan selepas bersalin yang sihat dan betul mengikut medikal.
Kalau mak-mak kita di kampung banyak pantang larang bila memilih jenis ikan dan jenis sayur yang tidak boleh dimakan…Doktor ni pula kata tiada halangan kerana semua itu sumber protein dan serat yang baik untuk badan.
“Sayur kangkung, petola atau terung tidak ‘sejuk’ dan tidak menyebabkan demam dalam pantang, kembang urat atau sengal badan,” katanya.
Ha…menarik bukan tips fakta yang dikongsikan? Jadi, Mami Piqah rasa pokok pangkalnya pada diri kita sendiri lah nak menyesuaikan cara berpantang tradisional atau moden dengan mengambil kira nasihat doktor supaya ia tidak memudaratkan.
Kesimpulannya, Mami Piqah nak tekankan di sini yang penting adalah kesihatan ibu dan bayi yang dilahirkan. Jaga diri dan jaga kesihatan okay!
Must-Watch Video