Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Laman Utama

#MamiPiqahCorner: “Saya Mahu Terus Hidup Demi Suami & Anak”- Derita Pejuang Kanser Payudara

Syafiqah Jalal 05/10/2021 | 11:50 MYT
Bukan mudah untuk menghadapi kenyataan apabila seseorang disahkan menghidap kanser atau barah. Ia ibarat memegang satu bom jangka masa pada tangan mereka.
Namun siapa lah kita nak menolak takdir Tuhan yang sudah tertulis, apa yang berlaku pasti ada hikmah buat mereka.
Sempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara ini, Mami Piqah tertarik dengan kisah sorang wanita yang pastinya mempunyai hati dan semangat yang kuat apabila sudah tujuh tahun menjadi pejuang kanser payudara.
Aimi Yusoff seorang isteri dan ibu yang menghidap barah payudara sejak usianya mencecah 30 tahun.
Berasal dari Terengganu, Aimi adalah seorang wanita bekerjaya yang sedang berjuang melawan kanser payudara. Kini, penyakit itu telah berada di tahap 4.
Pada permulaan perjalanannya sebagai pejuang kanser, Aimi akui dia turut menghadapi rasa ingin putus asa namun tetap bangkit demi suami dan tiga orang anaknya.
“Kadang-kadang, saya burnout, breakdown tetapi saya tidak pernah berhenti melawan dan terus melawannya.
“Saya hanya mahu hidup sihat bersama suami dan keluarga. Selama tujuh tahun ini saya cuba mengamalkan gaya hidup dan cara pemakanan yang lebih sihat. Saya juga sering melakukan aktiviti sihat seperti berjoging, berenang dan berbasikal bersama keluarga,” katanya.
Sebagai pejuang kanser payudara, Aimi menyeru kepada semua wanita untuk sentiasa membuat pemeriksaan serta menjalani saringan kesihatan setiap tahun sebelum terlambat.
“Saya ingin menyeru para wanita yang masih belum buat pemeriksaan… Sila lah pergi ke hospital atau klinik berdekatan untuk menjalani saringan kesihatan setiap tahun.
“Dan kepada kaum lelaki, sila bawa ahli keluarga wanita di rumah anda untuk membuat pemeriksaan lanjut di hospital. Kerana saya percaya bahawa pengesanan awal dapat menyelamatkan nyawa,” nasihatnya.
Aimi berkongsi kisah serta pengalamannya sebagai pejuang kanser payudara di akaun Facebook miliknya.
Perkongsian yang dibuat pada Jun lalu itu mendapat perhatian rakan-rakannya dengan 60 tanda suka.
Bulan Oktober setiap tahun akan disambut sebagai Bulan Kesedaran Kanser Payudara yang juga dikenali sebagai Pink Oktober atau Pinktober.
Sempena bulan ini, kempen-kempen akan berjalan di seluruh dunia untuk tujuan mendidik dan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kanser payudara.
Kanser payudara merupakan kanser yang paling tinggi kadar insiden dalam kalangan wanita seluruh dunia, termasuklah negara kita.
Sumber: FB Aimi Yusoff
;