Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Hiburan

Mampukah Kehadiran Artis Kelahiran Realiti & Artis Aplikasi Memberi Impak Positif Pada Industri Muzik Tanah Air? Part 2: Cikgu Shafi

Badrul Hashim 21/02/2019 | 06:48 MYT
Semalam adalah bahagian pertama tentang impak kehadiran artis kelahiran reality dan aplikasi kepada industri muzik tanah air. Pendapat daripada Hael Husaini dan Khai Bahar yang sedang meniti populariti sekarang ini.
(Baca: Mampukah Kehadiran Artis Kelahiran Realiti & Artis Aplikasi Memberi Impak Positif Pada Industri Muzik Tanah Air? Part 1: Hael Husaini & Khai Bahar)
Kalau dilihat pada satu sudut, tidak banyak perbezaan antara artis kelahiran proram realiti dengan artis kelahiran aplikasi. Di saat media sosial semakin menjadi keutamaan, kesemua mereka menggunakan kelebihan tersebut sebaik mungkin.
Mungkin artis kelahiran program realiti mempunyai sedikit kelebihan apabila mereka mempunyai tenaga pengajar serta mentor untuk mendidik mereka di bidang nyanyian dalam tempoh yang singkat.
Namun, ianya bukanlah kelebihan besar kerana jika penyanyi yang lahir daripada aplikasi ini turut mendapat mendidikan daripada guru-guru nyanyian, pastinya persaingan sihat tetap berlaku.
Menurut guru vokal Shafizawati Sharif atau lebih dikenali sebagai Cikgu Shafi, walaupun artis-artis kelahiran rancangan realiti hanya mempunyai sepuluh minggu dan tidak mendapat sepenuhnya, tapi sekurang-kurangnya mereka mengutip sedikit ilmu.
“Berbanding dengan artis aplikasi, daripada disiplin hinggalah kepada fokus mereka seolah-olah tidak tahu apa yang mereka mahukan. Segelintir mereka mempunyai masalah kerana mereka tidak berdisiplin.
“Malah, mereka tidak terlalu mementingkan kualiti kerana pada mereka, sudah ada platform sendiri untuk popular,” jelas Shafi.
Menurut Shafi, berbeza apabila mereka ini diajar kembali selepas keluar dan di bawah label rakaman masing-masing. Mereka yang asalnya daripada rancangan realiti lebih mudah kerana sudah mempunyai asas.
“Penyanyi aplikasi kebanyakannya banyak membuat cover dan menganggap ianya adalah latihan, sedangkan ianya bukan satu latihan. Projection suara pada telefon terlalu kecil sedangkan apabila membuat persembahan di atas pentas, perlu projection suara yang kuat.
“Ada segelintir mereka juga terpedaya dengan teknologi dengan membeli mikrofon yang mahal harganya. Dengan bantuan teknologi, usaha mereka kurang dan semakin lama kualiti nyanyian mereka semakin jatuh kerana tidak ada lagi usaha,” jelas Shafi lagi.
Namun begitu Shafi turut mengakui bahawa penyanyi kelahiran aplikasi mempunyai kelebihannya yang tersendiri.
“Apabila semua dilakukan sendiri, bermakna mereka sangat bagus dalam soal promosi diri. Mereka juga boleh menjadi role model dengan kelompok peminat yang ramai dan kuat di media sosial.
“Jika mereka berusaha mempromosikan diri dan lagu mereka di media sosial, lebih pantas mereka meraih populariti dan dengan bantuan karakter serta personaliti, mereka pasti berjaya,” tambah Shafi mengakhiri bicara.
Apa-apapun, kehadiran artis realiti dan artis aplikasi kini semakin ketara dalam anugerah serta pertandingan nyanyian besar dan berprestij di Malaysia. Ianya menjadi bukti bahawa mereka mampu menjadi pelapis, serta memberikan persaingan kepada penyanyi sedia ada.
Kolaborasi artis-artis lama bersama artis kelahiran realiti dan aplikasi ini juga membuktikan bahawa mereka mendapat tempat dalam industri muzik tanah air.
#Cikgu Shafi #Realiti VS Aplikasi
;