Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!
Hiburan

Man Raja Lawak Dipilih Sebagai Pengganti Abam Dalam Teater Korupsi Dewan Semandung

Asraf Aided 13/02/2020 | 10:22 MYT
Pelakon dan pelawak, Man Raja Lawak telah dipilih sebagai pengganti watak Allahyarham Syed Mokhtar Al-Juffrey atau lebih dikenali sebagai Abam dalam teater Korupsi Dewan Semandung.
Perkara itu telah diumumkan oleh pengarah teater berkenaan, Khir Rahman hari ini.
"Kami selaku pihak produksi telah mengadakan perbincangan dengan teliti tentang penggantian watak Abam dalam teater ini.
"Bukan calang-calang orang yang boleh menggantikan Abam kerana dia memiliki kelebihan dan bakat tersendiri.
"Menerusi hasil perbincangan bersama penerbit teater ini iaitu Fauziah Ahmad Daud, kami membuat keputusan untuk memilih Man Raja Lawak sebagai pengganti watak Abam," jelasnya.
Khir berkata demikian ketika ditemui di sidang media mengumumkan pelakon pengganti Allahyarham Abam dalam teater Korupsi Dewan Semandung, bertempat di Istana Budaya, Kuala Lumpur sebentar tadi.
Tambah Khir, Man atau nama sebenarnya Abd Rahman Kasim dilihat mempunyai potensi menggantikan watak asal yang sepatutnya dipegang Allahyarham.
"Pelakon pengganti yang dipilih haruslah mampu mengatasi bakat Abam atau sekurang-kurangnya sama paras dalam kualiti lakonan.
"Kami melihat beberapa kriteria yang ada pada Man, dia juga akan memulakan sesi latihan bermula hari ini," ujarnya lagi.
Selain Man, Teater Korupsi Dewan Semandung turut dibintangi oleh Vicha, Khir Rahman, Mark Adam dan ramai lagi.
Ia akan ditayangkan pada 29 Februari hingga 1 Mac 2020 di Istana Budaya.
Harga tiket boleh didapati pada RM58, RM78, RM88, RM118, RM148, RM178, RM208 dan RM258 menerusi AirAsia Red Tix.
#Abam Bocey #Man Raja Lawak
;