“Mana Ada Announce Putus, Itu Post Penghargaan, Malang Sekali Ramai Anggap Negatif” - Shila Amzah
Mya Amri
27/05/2023 11:57 MYT
27/05/2023 11:57 MYT
Penyanyi, Shila Amzah menjelaskan mengenai perkongsian di Instagram telah disalah anggap oleh netizen yang menyangka hubungan mereka berakhir.
Menurut Shila, hantaran yang dimuat naik di akaun Instagram itu merupakan kata-kata penghargaan buat Ubai yang disifatkan sebagai seorang lelaki sempurna dalam hidupnya.
“Saya mana ada announce kami putus. Ayat yang lima bulan itu sebab saya nak cakap terima kasih banyak-banyak kerana menjadi pasangan yang penyabar untuk saya dan memberikan kasih sayang kepada Seth.
“Saya betul-betul ikhlas ucap terima kasih kepada Ubai sebab kita nak melangkah ke fasa yang seterusnya.
“Itu hantaran untuk penghargaan sahaja. Tetapi malang sekali ada ramai yang menganggap benda itu negatif. Takkan saya nak kena jelaskan yang kami akan bertunang pada Sabtu.
“Biarlah si luncai dengan labu-labunya, yang suka-suka negatif tu biarkan sahaja sebab kita nak kena didik diri kita untuk menjadi lebih positif,” jelasnya.
Shila berkata demikian ketika sesi siaran langsung di Instagram miliknya hari ini.
Dalam pada itu, Shila juga mengucapkan terima kasih atas doa-doa yang diberikan kepadanya dan juga Ubai.
“Alhamdulillab, kami juga telah selamat bertunang. Terima kasih buat semua mendoakan yang baik-baik untuk kami.
“Minta maaf sebab tidak dapat menjawab semua mesej,” ujarnya.
Bagaimanapun Shila tidak berkongsi tarikh perkahwinan mereka.
“Bila langsungnya? Insya-Allah doakan… Sekali lagi, saya tak boleh nak beritahu buat masa sekarang,” katanya ringkas.
Rabu lalu, Shila memuat naik status berbaur ‘sedih’ mengenai hubungan cinta yang dijalin selama lima bulan bersama jejaka berkenaan.
Menurut Shila, Ubai merupakan seorang jejaka yang sempurna selain telah banyak memberikan kasih sayang kepada anak lelakinya.
Difahamkan, hubungan cinta antara Shila dan Ubai mula mekar ketika Shila mula aktif dalam bidang seni sekitar tahun lalu.
Untuk rekod, Shila mendirikan rumah tangga bersama Haris Idraki Elias pada April 2018 sebelum bercerai pada Februari 2022.