Hiburan
"Manap Karaoke Adalah Khas Buat Peminat Yang Rindukan Karya Saya..." - Mamat Khalid
Filem komedi terbaru arahan Mamat Khalid iaitu Manap Karaoke terus mendapat sambutan hangat sejak mula menemui penonton pada 7 Mei lalu.
Filem ini lengkap dengan unsur jenaka dan turut menampilkan lagu-lagu era 90-an yang mampu membuatkan penonton turut berkaraoke di rumah masing-masing.
Menurut Mamat Khalid, dia menganggap Manap Karaoke sesuai ditanyangkan ketika ini kerana mampu menghiburkan orang ramai yang kekal berada di rumah tanpa urusan penting di luar.
“Keistimewaan filem ini bukan sahaja tertumpu pada penceritaan dan watak semata-mata, tetapi ia juga mengembalikan nostalgia
lagu-lagu 90an yang masih popular hingga saat ini.
Saya anggap ini adalah masa yang sesuai untuk tampilkan filem komedi dalam keadaan sekarang, pasti ada di antara kita yang risau, tertekan
mahupun kebosanan.
"Jadi, saya harap karya ini dapat menghiburkan dan memberi semangat kepada penonton dengan jenaka dan lagu-lagu yang boleh membuat mereka menyanyi bersama," ujarnya.
Tambah Mamat Khalid, filem ini adalah buah tangan khas kepada orang ramai nyang merindukan karyanya di layar perak.
"Saya ingin ucapkan terima kasih kepada pihak Astro Shaw yang meletakkan kepercayaan pada karya ini untuk dipersembahkan kepada penonton ketika tempoh PKP ini.
"Ini juga adalah khas buat penonton dan peminat yang rindukan karya saya di pawagam," katanya lagi.
Manap Karaoke mengisahkan tentang seorang lelaki bernama Manap yang membuka perniagaan karaoke bergerak.
Namun, perjalanan Manap tidak semudah yang disangka kerana pelbagai cabaran dan dugaan akan dihadapinya.
Apa yang pasti, terdapat banyak kisah lucu menanti anda dalam filem ini.
Manap Karaoke menampilkan barisan pelakon hebat seperti Joey Daud, Ropie, Pekin Ibrahim, Mona Allen dan ramai lagi. Jangan lupa untuk mendapatkannya di Astro First, saluran 480 sekarang!
Must-Watch Video