Hiburan
Mangsa Banjir Kelantan, Antara Tetamu Percutian Kapal Mewah Bersama Zarul
Salah seorang mangsa banjir di Dabong Kelantan, Mohd Saiful Ezwan Abdullah tidak sangka akan terpilih untuk mengikuti percutian mewah bersama Zarul Umbrella menaiki kapal persiaran Starcruise Superstar Libra di Pulau Pinang, pada Sabtu lalu.
Percutian sambil beramal dua hari satu malam dianjurkan ZSM Mabrur Travel & Tours Sdn Bhd turut membawa 100 orang peminat termasuk anak yatim dan kelab peminat Zarulians FC.
Menariknya, anak yatim yang merupakan pelajar cemerlang yang terpilih dan ditaja sepenuhnya.
“Saya tidak sangka terpilih untuk menyertai percutian ini kerana kalau hendak pergi sendiri saya tidak mampu. Ini pertama kali saya menaiki kapal persiaran mewah bertaraf lima bintang.
“Saya terharu kerana ZSM sudi menaja kami dan memberi sumbangan serta cendera hati,” katanya terharu.
Pengarah Urusan ZSM Travel &Tours, Marlina Ramly berkata, program amal tersebut merupakan satu tanggungjawab sosial (CSR) untuk membantu golongan memerlukan.
“Ini merupakan pelayaran amal yang dianjurkan dan ZSM Mabrur tidak menyangka program ini mendapat sambutan memberangsangkan.
“Apa yang paling penting bagi ZSM Mabrur ialah, impian untuk membawa anak-anak yatim terlaksana dan menggembirakan mereka tercapai,” katanya kepada Astro Gempak.
Tambah Marlina lagi, ZSM Mabrur mengadakan program seumpama ini setiap tahun tetapi buat pertama kali diadakan secara ekslusif melalui pelayaran mewah menaiki Starcruise Superstar Libra.
Bagaimanapun program ini tidak tertumpu kepada anak-anak yatim sahaja, malah golongan ibu tunggal dan warga emas juga tidak dipandang sepi.
Pada 13 hingga 14 Mei ini, ZSM Mabrur akan membawa artis, Siti Nordiana pula belayar sambil menderma bersama Star Cruise.
Foto menarik sepanjang pelayaran baru-baru ini: