BERITA
Mangsa Jerit Meminta Tolong, Ada Yang Ajar Rakan Mengucap - Saksi
Keadaan di lokasi sangat tragis dan menyedihkan. Ada yang menangis, meraung minta tolong, ada yang mengajar rakan mengucap walaupun tahu rakannya sudah meninggal dunia.
Itu situasi yang berlaku di lokasi kemalangan di Lebuhraya Gerik-Jeli, berdekatan Tasik Banding, Perak yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) jam 1 pagi tadi yang disaksikan oleh Razali, 45.
Razali yang tinggal di Jeli bergegas ke lokasi kejadian sebaik mengetahui kemalangan yang berlaku kerana pada awalnya menyangka lokasi kejadian dalam kawasan Kelantan.
"Saya tiba di lokasi sekitar jam 1.50 pagi dan ketika itu anggota bomba dan ambulans sudah sampai. Sangat menyedihkan melihat kejadian di depan mata.
"Ada yang tersepit, ada yang menangis meminta tolong kerana sakit, ada yang tidak putus asa mengajar rakan mengucap dua kalimah syahadah walaupun mereka tahu rakannya sudah meninggal dunia.
Jasad mangsa yang meninggal dunia disusun, manakala pasukan perubatan berusaha memberi bantuan kepada mangsa yang cedera," katanya.
Jelasnya, ada mangsa yang tersepit sehingga anggota bomba terpaksa memotong bas untuk mengeluarkan mangsa.
"Saya turut membantu apa yang patut dan pulang semula ke Jeli sekitar jam 3 pagi," katanya.
Terdahulu, seramai 15 pelajar UPSI disahkan maut dan tujuh parah apabila bas yang dinaiki mereka dalam perjalanan pulang ke universiti itu terbabit dalam kemalangan dan terbalik di Jalan Jeli - Grik berhampiran Tasik Banding, Perak awal pagi tadi.
Sumber: Harian Metro
Must-Watch Video