HIBURAN

“Mangsa Siber Buli Harus Bersuara” - Uyaina Arshad

Asyraf Roslan 02/08/2025 | 05:55 MYT

Pelakon dan pengacara, Uyaina Arshad akui kecewa apabila menjadi salah seorang mangsa siber buli baru-baru ini.

Menurut Uyaina atau Saidatul Naseha Uyaina Arshad dia agak terkilan melihat sikap segelintir netizen di media sosial yang bebas mengulas dan berkata apa sahaja tanpa memikirkan impaknya terhadap individu yang terlibat.

“Saya rasa sekarang ini di sosial media ramai yang fikir mereka boleh bercakap macam-macam mengenai seseorang tanpa memikirkan implikasi kepada orang yang diperkatakan.

“Mereka rasa perkara ini biasa dan seronok untuk bercakap mengenai seseorang sehinggakan ada yang mahu kita tahu mereka tengah bercakap pasal kita. Bagi saya benda itu sangat toxic dan tidak baik. Siber Buli tidak okay dan mangsa harus bersuara untuk diri mereka sendiri.

“Bukan melatah atau koyak tapi bersuara untuk mempertahankan diri anda sendiri,” katanya kepada Gempak.

Dalam masa sama, Uyaina mengakui sebagai manusia biasa, dirinya juga tidak lari daripada merasa kecewa apabila menjadi sasaran kecaman atau kata-kata negatif.

Bagaimanapun, pelakon drama Love Elsa ini bersyukur kerana dikelilingi oleh sistem sokongan yang kuat khususnya daripada suaminya yang sentiasa berada di sisi ketika berdepan dengan situasi sukar.

“Tipulah kalau cakap saya tak terasa dan terkilan. Sebagai manusia sudah tentu kita ada rasa itu namun saya tak biarkan perasaan itu consume diri saya sebab saya tahu orang akan tetap bercakap pasal diri you,”

“Bagaimanapun,alhamdulillah saya ada support sistem yang kuat terutama daripada suami. Dia tahu saya bagaimana orangnya, dia banyak memberi sokongan namun kalau saya salah dia akan kata saya salah.

“Saya benar-benar ada sokongan yang kuat sebab tu saya boleh hadapi perkara ini dengan baik,” tambahnya.

Terdahulu, Uyaina Arshad tampil memberikan respons selepas menerima mesej daripada seorang pengikutnya yang menunjukkan beberapa individu mengutuk dirinya di media sosial.

Menerusi hantaran Threads, Uyaina memuat naik beberapa tangkap layar komen negatif yang didakwa dilemparkan kepadanya.

Menurut Uyaina, dia kebiasaannya memilih untuk berdiam diri apabila menerima komen buruk, namun kali ini memutuskan untuk bersuara.

#Uyaina Arshad #Mangsa buli #Siber Buli