Laman Utama
ManisfestaSITI2020 Terima Anugerah Emas, Datuk Seri Siti Nurhaliza Buktikan Album Fizikal Masih Ada Permintaan!
Penghibur nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza berjaya membuktikan bahawa album fizikal (CD) masih mempunyai permintaan dalam pasaran apabila ‘ManifestaSITI2020’ berjaya mencapai jualan lebih 5,000 unit.
Pencapaian tersebut telah melayakkan Siti menerima Anugerah Emas (Gold Award) daripada syarikat Universal Music Sdn. Bhd.
Mengulas lanjut mengenai anugerah diterima, Siti bersyukur kerana albumnya diterima ramai sehingga diberikan pengiktirafan sedemikian.
“Saya bersyukur kerana di dalam era digital, album fizikal saya masih mendapat sambutan baik setelah empat bulan berada di pasaran.
“Ini merupakan satu pencapaian yang membanggakan dan saya berharap agar jualan ini akan terus meningkat dari semasa ke semasa,” katanya.
CD ‘ManifestaSITI2020’ dijual menerusi SNP On Pay iaitu sistem pemasaran oleh Affiliate yang diwujudkan oleh Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn.Bhd.
Album tersebut memuatkan 11 buah lagu termasuk lagu ‘Anta Permana’ yang pernah menduduki tempat ketiga dalam Anugerah Juara Lagu 34 (AJL34).
Turut dimuatkan dalam album ini adalah lagu 7 Nasihat yang mula diperdengarkan kepada khalayak pada Februari lalu, menyaksikan Dato’ Sri Siti berganding dengan penyanyi duo Hip Hop, Kmy Kmo dan Luca Sickta.
Selain itu, lagu Aku Bidadari Syurgamu yang terkandung dalam ManifestaSITI2020 juga berjaya tersenarai dalam carta radio dan carta platform digital sehingga ke hari ini.
Malah video muzik rasmi Aku Bidadari Syurgamu berjaya mencapai lebih 10 juta tontonan sejak dimuatnaik di YouTube pada Julai lalu.
Album ini masih boleh dilanggani di SNP On Pay termasuk Boxset ManifestaSITI2020. Boxset istimewa ini mempunyai CD ManifestaSITI2020, buku nota, buku jurnal, pelitup muka dan juga pensanitasi tangan.
Selain CD ‘ManifestaSITI2020’ , penggemar muzik juga boleh menikmati album digital di di platform digital seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music, JOOX, iTunes, KKBox dan juga Deezer.
Album ini diterbitkan oleh Siti Nurhaliza Productions dengan kerjasama Universal Music Malaysia.
Must-Watch Video