Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

“Manusia Tidak Boleh Lari Daripada Kesilapan” - Ruhainies Harap Orang Ramai Dapat Maafkan Zul

Izwan Isa
21/03/2022 22:50 MYT
Dramatis popular, Ruhainies menyokong tindakan pelakon Zul Ariffin memohon maaf secara terbuka susulan sedutan video sebuah drama menjadi tular baru-baru ini.

Ruhaines atau nama penuhnya, Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas berkata, permohonan maaf yang dibuat oleh Zul merupakan pilihan terbaik bagi menjernihkan kembali keadaan.

Katanya, dia pasti Zul sebagai seorang yang sangat profesional sudah mendapat pengajaran daripada apa yang telah berlaku.

“Selaku antara yang rapat dengannya, saya memang tak nak komen lebih. Bimbang nanti salah faham pula.

“Bagi saya, orang di luar boleh bercakap apa sahaja. Namun, siapa yang mengenali Zul secara dekat akan tahu dia merupakan orang yang bagaimana. Dia bukanlah seperti yang digembar-gemburkan orang ketika berada di luar set penggambaran.

“Sebagai seorang yang baik dengannya, Zul tidak pernah lokek ilmu dan baik dengan semua orang. Hal ini menjadi sebab kenapa saya senang berkawan dengannya,” katanya.

Ruhainies berkata, tidak adil jika kesalahan hanya ditudingkan kepada sebelah pihak semata-mata.

“Bukankah nak sebelahkan dia kerana salah tetap salah, tetapi Zul dah minta maaf. Manusia tidak boleh lari dari kesilapan dan saya berharap orang ramai dapat memaafkannya.

“Saya juga berasa yakin yang dia akan menjadi lebih berhati-hati dalam menerima tawaran selepas ini. Baik kita sebarkan hal-hal positif dan ambil iktibar daripada apa yang telah berlaku,” katanya lagi.

Ruhainies dan Zul sebelum ini pernah bergandingan menerusi drama bersiri, Wifi Sebelah Rumah yang bersiaran di Disney+ HotStar.

#Zul Ariffin #Ruhainies