Jom Sertai Keluang Man Fun Run yang akan berlangsung pada 18 Mei 2025 dan berlari bersama Borhan! 
HIBURAN

Marc Syahmie Syukur Sudah Bebas Kanser, Kini Aktif Berlakon Semula

Umirah Halim 18/05/2025 | 23:55 MYT
Pelakon baharu, Marc Syahmie, memaklumkan dirinya kini telah sembuh sepenuhnya daripada penyakit kanser testis tahap dua yang dihidapinya sejak tahun lalu.

Syukur dengan berita tersebut, Marc Syahmie atau nama sebenarnya, Ahmad Syahmie Mahuyidin, 26, memaklumkan dia juga sudah dapat menjalankan aktiviti harian seperti biasa.

“Alhamdulillah, kondisi saya sekarang sangat baik. Saya dah buat rawatan susulan secara berkala dan dua bulan lepas doktor sahkan bacaan darah kanser saya dah normal.

“Saya juga dah boleh buat aktiviti harian seperti biasa tanpa sebarang pantang,” katanya ketika ditemui Gempak.

Mengulas mengenai kemungkinan sel kanser tersebut kembali, Marc berkongsi bahawa jenis kanser yang dihidapinya, iaitu sel minoma, berada di luar anggota badan dan risiko untuk ia kembali adalah rendah.

“Doktor cakap sel kanser saya jenis minoma, jadi risikonya lebih rendah. Tapi saya kena ubah gaya hidup lepas ini – contohnya tidak merokok dan kurangkan makanan berkarbon seperti sate sebab itu boleh ‘trigger’ sel kanser,” jelasnya.

Lebih menggembirakan, Marc turut memaklumkan bahawa dia kini sedang menjalani penggambaran sebuah drama dan setakat ini tiada sebarang gangguan terhadap prestasi kerjanya.

“Saya dah mula berlakon dan jadi model semula. Alhamdulillah, slow-slow job masuk sejak saya maklumkan kepada semua yang saya sudah sihat.

“Saya sangat gembira dan bersyukur dapat kembali kepada rutin harian dan minat saya dalam dunia seni,” katanya.

Untuk rekod, Marc Syahmie sebelum ini mengejutkan ramai apabila disahkan menghidap kanser testis tahap dua pada 20 Oktober tahun lalu.

#Berlakon #Kanser #Bebas #Aktif #Marc #syahmie