Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Marcell Pukau Penonton Dengan Karisma, Titip Lagu Buat Allahyarham Adibah Noor

Maliah Surip
10/12/2022 20:50 MYT
Hanya memerlukan seorang berdiri di tengah panggung. Tidak terlalu berusaha keras menonjolkan diri, tetapi dia tahu karisma yang ada padanya sudah cukup kuat untuk menjadi magnet melekatkan hati dan jiwa banyak penggemar bukan sahaja dari negara kelahiran, tetapi Nusantara juga.

Seorang figura itu adalah penyanyi bernama Marcell Siahaan. Di belakangnya ada segerombolan pemuzik yang mengalunkan muzik dengan ‘gila gila’. Mereka bermain instrumen dengan susunan muzik berbunyi cukup ‘raw’, tetapi menjadi indah saat menyatu bersama vokal Marcell.

Tidak boleh dilepaskan memberi kredit, mereka adalah tulang belakang yang menjadikan konsert Marcell Dua Dekade di Zepp KL pada tanggal 9 Disember 2022 menjadi sesuatu yang bermakna.



Lewat konsert Marcell Dua Dekade yang dianjurkan The Jay Events & Media, nama pesohor muzik Indonesia itu dijerit pekik; menimbulkan keterujaan bak terkena renjatan elektrik oleh para penggemarnya, sedang dia di atas panggung dengan bersahaja melantunkan gemersik vokal yang cukup membuai jiwa.

Tembang hitnya seperti Menunggu, Jangan Pernah Berubah, Perih, Kau Bisa Aku Bisa serta Sudahlah dilantunkan penuh indah sehingga banyak yang terkesima tanpa kata.

Mendengarkan dia menyanyi dengan sederhana tetapi ‘mewah’ penerimaan di telinga sudah cukup membuat lebih 2,000 peminat yang hadir ‘pulang’ mengembara menjemput memori lama.

“Saya harus berterima kasih kepada penggemar di sini kerana sepanjang 20 tahun berkarier, Malaysia selalu mempunyai jatah terbesar saya,” kata Marcell mengenang awal kariernya.



Marcell yang sesekali bercanda mengenai perubahan rambut yang kini kembali dengan penampilan botak kemudian melanjutkan aksi ‘silap matanya’.

Dia terus melarutkan emosi penonton dengan tembang yang sudah digarap semula, antaranya Rozana milik kumpulan Search dalam genre yang lebih ‘cocok’ dengan konsep album yang dirilis beberapa tahun silam.

Saat penonton masih terpesona, Marcell tidak mahu mereka keluar dari zon tersebut.

Pantas dia membawa semua ke dalam suasana penuh emosi lewat lagu hitnya, Takkan Terganti yang dirilis pada tahun 2011.

“Saya ini sangat mengagumi Adibah Noor. Tidak kesampaian di sini, namun pasti Allah menjaganya di sana,” katanya sambil mendendangkan Takkan Terganti dengan penuh haru.

Masih dalam gaya sederhana dan bersahaja, Marcell meneruskan konsertnya dengan penuh matang; menggambarkan 20 tahun pengalaman dan kembara seni dalam belantika muzik yang dijalani penuh onak.

Dan tentulah salah satu hit yang sangat ditunggu peminatnya, Hanya Memuji meledakkan suasana gamat.

Secara berseorangan, Marcell mengalunkan Hanya Memuji, sebuah lagu duet bersama Shanty yang membuat mereka terkenal di Nusantara.

Tentu sahaja keseorangannya di panggung diiringi nyanyian ribuan penonton yang berdiri dan berdansa dengan senang sekali saat lagu karya Melly Goeslaw yang dirilis pada tahun 2000 itu didendangkan.



Konsert Marcell Dua Dekade tidak lengkap ditutup tanpa dua lagi lagunya yang telah membekas dalam jiwa banyak peminatnya.

Semusim dan Firasat yang dinyanyikan penuh indah dan terus menjadi tanda bukti Marcell adalah penyanyi yang gifted sekaligus pasti akan menjadi favorit untuk 20 tahun lagi atau lebih.

Kerana lewat gemersik dan sederhananya dia menghiburkan pendengar tanpa banyak ‘kerut’ di wajah, sebaliknya tersenyum dalam nyanyian akan membuat Marcell terus hidup sebagai salah seorang penyanyi solo lelaki senior terbaik yang pernah ada di Indonesia.

#Konsert #Indonesia #Adibah Noor #Marcell #Zepp KL
;