Laman Utama
Mariah Carey Sudah Suntik Vaksin COVID-19, 'Kesan Sampingannya' Akan Buat Anda Melopong!
Penyanyi popular antarabangsa Mariah Carey antara selebriti Hollywood yang sudah mendapatkan suntikan pertama vaksin COVID-19.
Berkongsi pengalamannya di laman sosialnya, Carey, 52, tenang ketika menjalani prosedur terbabit.
Kata diva yang popular dengan lagu My All itu dia teruja namun pada masa sama gementar sambil melihat petugas keselamatan menyediakan alatan untuk suntikan tersebut.
"Mereka sedang menjelaskan kepada saya. Rasa teruja dan gementar sedikit untuk mendapatkan suntikan ini.
"Ini mungkin mengganggu mereka daripada melakukan tugas-tugas mereka tetapi kamu pun tahu, saya akan bercakap dan tidak mahu memikirkannya sangat," katanya dalam video berkenaan.
Bagaimanapun, ketika mula disuntik Carey mulai gelisah dan cuba ditenangkan petugas perubatan hingga akhirnya penyanyi itu menjerit.
Selorohnya; "Kesan sampingan vaksin; G6."
G6 merujuk kepada kod muzik yang tinggi dalam julat vokal seseorang penyanyi. Kod G6 merupakan notasi muzik yang sinonim dengan Carey sepanjang kariernya.
Dalam pada itu, Carey turut berpesan kepada orang ramai agar terus berjuang menentang pandemik bahaya ini.
"Daripada posting terawal lagi ketika saya mencuci tangan bersama (kedua-dua anak kembar berusia sembilan tahun) Roc dan Roe di New York, cuba untuk menggalakkan orang ramai agar kekal selamat.
"Kita masih dalam 'perang' melawan virus ini. Saya mengharapkan yang terbaik dan menggalakan anda semua untuk melakukannya (suntikan vaksin)," tambahnya.
Antara selebriti Hollywood lain yang sudah mendapatkan suntikan pertama vaksin COVID-19 ialah Ryan Reynolds, Blake Lively, Arnold Schwarzenegger, Judi Dench, Martha Stewart dan Sharon Stone.
Must-Watch Video