HIBURAN
Marissa Yasmin Kongsi Pengalaman Hidup Dengan Individu Narsistik - “Hidup Dengan Orang Macam Ni…”
Pelakon, Marissa Yasmin berkongsi berdepan dengan individu berwatakan narsistik sehingga memberi kesan mendalam terhadap dirinya.
Menurut Marissa atau nama sebenarnya, Marissa Yasmin Mariam Yaakob, 48, ianya sangat sukar untuk meneruskan hidup bersama individu tersebut dalam satu perhubungan.
“Watak narsistik ini sangat dekat dengan diri saya kerana saya pernah berdepan dengan individu yang berperwatakan seperti itu.
“Disebabkan itu, saya boleh membezakan jika seseorang itu pernah berdepan dengan orang narsistik atau tidak,” katanya kepada Gempak.
Marissa berkata demikian ketika menghadiri majlis pelancaran drama Pabila Dia Tersenyum yang berlangsung di Sunway Pyramid, Selangor pada Selasa.
Jelas Marissa, individu narsistik sering memanipulasi keadaan sehingga mangsa kelihatan seperti pihak yang bersalah, manakala mereka pula dilihat sebagai mangsa.
“Hidup dengan orang macam ni memang sangat mencabar. Selalu yang nampak jahat adalah orang yang kena dera tapi si narsistik pula yang nampak macam mangsa.
“Nak berdepan dengan mereka, kita perlukan kekuatan yang sangat luar biasa. Lama-kelamaan, kita akan hilang diri, hilang kekuatan hilang segalanya,” jelasnya.
Bagaimanapun, Marissa turut berkongsi dia mengambil masa kira-kira tujuh hingga lapan bulan sebelum berjaya keluar daripada hubungan toksik tersebut.
Dia juga berharap agar Tuhan akan sentiasa membuka pintu hati individu itu untuk diberikan perubahan dalam kehidupannya.
“Saya mendapat kekuatan untuk keluar daripada kancah itu apabila saya memberi masa berapa lama nak tahan dengan perangai mereka.
“Lebih kurang tujuh hingga lapan bulan saya tahan tetapi itu pun lama.
“Dengan harapan, kita doa dekat Tuhan semoga pintu hatinya dibuka dan beri perubahan. Kalau beri peluang kepada mereka, mereka akan gunakan kita sampai kita ‘lunyai’. Narsistik ini tidak akan berubah kerana ia tidak ubat,” kongsinya.