Hiburan
Mark Adam Nafi Kutuk Proton Sebagai Kereta Orang Miskin
Penyanyi Mark Adam menafikan yang dia mengutuk jenama kereta buatan Malaysia, Proton sebagai kereta orang miskin di laman Facebook.
"Laman Facebook tersebut bukan kepunyaan saya dan saya tidak pernah bercakap buruk mengenai kereta Proton di laman Facebook.
"Perkara tersebut dilakukan oleh individu yang tidak bertanggungjawab yang menggunakan nama dan gambar saya.
"Saya sedar kewujudan akaun Facebook yang menggunakan nama saya dan ianya semakin melampau," kata Mark kepada Mstar Online.
Menggunakan nama Mark Munding Echivarre untuk akaun individu dan Mark Adam Official bagi akaun rasminya, penyanyi lagu Si Katak itu sudah memberi amaran terhadap pemilik akaun palsu tersebut.
"Terdahulu, akaun tersebut pernah mengeluarkan kenyataan tentang poligami sehingga membuatkan orang ramai marah dan kini sekali lagi dia buat perkara yang menimbulkan kekecohan.
"Saya sudah memberi amaran menerusi mesej, tetapi belum dibalas. Saya tidak akan berdiam diri dan akan membuat laporan polis jika dia masih berterusan kerana ia akan memburukkan nama saya," katanya lagi.
Kredit berita: Mstar Online.