Hiburan
Marsha Mahu Rakam Lagu Rakyat Sabah
Demi mendekatkan diri dengan penduduk kampungnya di Sabah, penyanyi Marsha menanam hasrat untuk merakamkan beberapa buah lagu rakyat Negeri di Bawah Bayu itu.
Kata Marsha, proses itu masih lagi dalam perbincangan dan harapannya lagu-lagu itu dapat dilancarkan sebelum Ramadan.
"Saya mendapat kerjasama daripada rakan baik saya, Velvet Aduk dan suaminya Rich Gimbang (Estrange) untuk menghasilkan lagu-lagu ini.
"Jika tiada aral saya mahu menghasilkan sebuah album lagu rakyat Sabah, namun sekiranya tidak sempat kami akan mencuba single demi single," katanya kepada Astro Gempak.
Marsha akan mendapatkan khidmat daripada beberapa komposer lain selain Rich untuk merealisasikan impiannya itu.
"Sebenarnya pasaran muzik di Sabah sangat luas dan permintaan juga tinggi.
"Jadi, tidak salah untuk saya mengeluarkan lagu-lagu rakyat Sabah kerana ia juga akan memberikan impak positif kepada penduduk di sana," tambah Marsha.
Dalam perkembangan lain, Marsha kini sedang menjalani penggambaran travelog Solo Yolo dan Ready Set Action di Eropah selain penggambaran drama bersiri Bimbi & Bonni.
Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @marshamilan