Hiburan

Marsha Mengaku Sudah Peluk Agama Islam, Nikah 31 Disember

gempak
Ahmad Shah
29/12/2015
09:35 MYT
Sponsor Banner
Marsha Mengaku Sudah Peluk Agama Islam, Nikah 31  Disember
Pelakon dan penyanyi Marsha Milan Londoh menerusi siaran akhbarnya hari ini mengaku sudah memeluk agama Islam sejak beberapa minggu lalu.
Menurut selebriti berusia 30 tahun yang berasal dari Sabah itu, walaupun sudah menukar agama dia masih mengekalkan nama asalnya, Marsha Milan Londoh.
Majlis tersebut berlangsung dengan sangat tenang dan lancar serta hanya dihadiri oleh kaum keluarga terdekat sahaja.
Bagaimanapun tarikh dan lokasinya dirahsiakan di atas permintaan keluarga kedua belah pihak.
“Ya, saya sudah memeluk agama Islam. Segalanya berjalan dengan lancar seperti apa yang dirancang. Apa yang saya harapkan penghijrahan saya ini tidak disensasikan kerana ia terlalu peribadi buat saya.
“Saya mohon supaya jangan dihebohkan perkara ini kerana semuanya sudah selesai demi menghormati kedua belah pihak,” ujarnya.
Dalam pada itu Marsha turut berkongsi berita gembira tentang majlis perkahwinannya dengan seorang ahli perniagaan Mohamed Shaiful Nizam.
Marsha berkata dia mengenali Shaiful atau lebih mesra dengan panggilan Sepol itu sejak 10 tahun yang lalu.
Namun bibit percintaan Marsha dan jejaka berasal dari Pulau Pinang berputik kira-kira dua tahun yang lalu iaitu pada 2013.
Dengan iringan restu dari keluarga kedua belah pihak, ikatan cinta kedua pasangan ini bakal disatukan dalam beberapa majlis yang bakal dilangsungkan dua hari lagi.
“Saya bersetuju untuk mengahwini pasangan saya, Mohamed Shaiful Nizam setelah melihat keikhlasan dan kejujuran beliau sepanjang perkenalan kami.
“Sifatnya yang sentiasa mengambil berat dan hormat dengan ahli keluarga saya amat menambat hati. Beliau juga sentiasa memberi sokongan dalam kerjaya seni dan mahu saya lebih maju dalam bidang ini.
“Di atas sikap yang ditunjukkan ini menguatkan gerak hati saya untuk menerima lamarannya. Doakan majlis perkahwinan saya yang bakal berlangsung berjalan dengan lancar.
“Saya sangat gembira sekali dengan penyatuan ini. Apa yang saya harapkan, majlis yang bakal berlangsung nanti berjalan lancar dan menjadi kenangan terindah buat saya dan keluarga kami,” katanya lagi.
Mengikut perancangan, Marsha dan Sepol atau nama sebenarnya Mohamed Shaiful Nizam Datuk Seri Hj. Mohamed Ismail, 29, akan bernikah di Pulau Pinang pada 31 Disemberini dalam sebuah majlis tertutup yang akan dihadiri oleh ahli keluarga dan teman rapat kedua belah pihak sahaja.
Sementara itu, majlis resepsi pula akan diadakan di Kuala Lumpur pada 8 Januari depan di Hotel Majestic Kuala Lumpur.
Marsha dan Sepol telah mengikat tali pertunangan pada 14 Disember lalu dalam satu upacara ringkas yang berlangsung di kampung halaman Marsha di Sabah dan hanya dihadiri oleh keluarga terdekat kedua pasangan ini.
“Saya memilih untuk lebih banyak berdiam diri dari berbicara tentang perancangan perkahwinan saya kepada pihak media kerana ada banyak hal yang kami perlu uruskan sebelum ini.
“Setelah mencapai kata sepakat diantara keluarga dan beberapa perkara sudah disahkan barulah kami bersedia memberi jawapan yang pasti kepada umum,” katanya.
Teks Oleh: Hafiza Kamarudin -
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live