HIBURAN
Marsha Milan Syukur Dinobat Juara, Akui Mental Terganggu Bawa Lagu Hening Rindu - “Saya Terlalu Menjiwai Sangat”
Penyanyi Marsha Milan menyifatkan kemenangannya sebagai juara AJL39 sebagai sebuah hadiah bermakna kepadanya selepas 20 tahun berkecimpung dalam industri muzik.
Membawakan lagu Hening Rindu, Marsha meluahkan rasa syukur apabila segala penat lelah terbayar selain berterima kasih kepada semua yang menyokongnya selama ini.
“Trofi ini sangat bermakna bagi saya kerana 20 tahun saya dalam industri mencari nama dan saya rasa ramai yang menyaksikan kesusahan saya dalam industri. Ini sangat bermakna buat saya.
“Saya tak letak harapan langsung tapi jauh di sudut hati saya ada cakap ‘bestnya jika dapat’ (juara) tapi untuk saya juara itu saya tak sangka.
“Selama 20 tahun akhirnya saya dapat menang, saya sangat bersyukur kepada semua yang menyokong saya, terutama pencipta lagu,” katanya pada sidang media AJL39.
Dalam pada itu, Marsha akui dia berdepan kesukaran apabila mengalami masalah kesihatan menjelang AJL namun bersyukur berjaya membuat yang terbaik.
“Sebelum ini saya rasa saya terlebih kerja sedikit jadi saya hilang suara. Saya juga ada dapatkan rawatan dua minggu lalu.
“Tapi sekarang saya sudah sihat cuma dari segi mental itu sedikit terganggu, siapa yang tak gemuruh untuk pentas besar macam ini.
“Alhamdulillah, we made it,” ujarnya lagi.
Kongsi Marsha lagi, lagu ciptaan Ikhwan Fatanna itu banyak membuat dirinya mengenangkan orang-orang yang telah tiada dalam hidupnya.
“Terus terang lagu Hening Rindu ini banyak mengingatkan saya dengan orang-orang yang saya sayang yang sudah tiada.
“Pada masa sama, melihat situasi orang lalui sekarang, jadi perkara itu satu kesukaran untuk saya sebab terlalu menjiwai sangat untuk lagu ini.
“Alhamdulillah, keluarga, peminat dan label banyak sokong saya,” kongsinya lagi.
‘Hening Rindu’ berjaya dinobatkan sebagai juara AJL39 sekali gus mengetepikan sembilan finalis lain.
Menerusi kemenangan itu, Marsha berjaya membawa pulang wang berjumlah RM100,000 beserta trofi.
Manakala, tempat kedua dimenangi lagu ‘Bukan Lagi Kita’ nyanyian Nadeera dan tempat ketiga milik lagu ‘Saksama’ nyanyian Akim & The Majistret.
Must-Watch Video