Terkini

Marsha & Velvet Buat Lagu Dedikasi Untuk Orang Sabah Sempena Pandemik, Siap Dapat Perhatian KKM

gempak
ZULHILMI JALIL
03/11/2020
02:03 MYT
Sponsor Banner
Marsha & Velvet Buat Lagu Dedikasi Untuk Orang Sabah Sempena Pandemik, Siap Dapat Perhatian KKM
Ramai yang bersimpati dan terkesan dengan situasi getir yang berlaku di Sabah ekoran pandemik Covid-19 yang menimpa negara.
Begitu juga dengan penyanyi Marsha Milan dan Velvet Aduk yang merupakan anak kelahiran negeri di bawah bayu itu.
Prihatin dengan keadaan nasib orang di Sabah, Marsha dan Velvet muncul dengan sebuah lagu baharu berjudul Insan Tadau.
Lagu berbahasa Dusun yang bermaksud 'Suatu Hari Nanti' itu merupakan satu bentuk dedikasi khas yang ditujukan untuk rakyat Sabah yang sedang berjuang dalam memutuskan rantaian Covid-19.
Menurut Marsha, lagu tersebut merupakan simbolik tentang kerinduan seseorang buat insan tersayang dan berharap semoga dipertemukan kembali suatu hari nanti.
"Kebanyakan pendengar meluahkan isi hati dan harapan mereka diruangan komen muzik video lagu ini mendoakan keselamatan semua dan kerinduan untuk bertemu keluarga tercinta.
"Saya mendoakan agar keluarga dan semua yang berada di Sabah berada dalam keadaan yang baik dan sentiasa mengamalkan SOP yang telah ditetapkan supaya keadaan kembali pulih," katanya.
Sementara itu, bagi Velvet pula, katanya lagu tersebut merupakan sebagai satu bentuk tanggungjawab sosial korporatnya.
"Inspirasi mencipta lagu ini bagaikan tanggungjawab sosial kami berdua sebagai sumbangan terhadap negeri Sabah.
"Ia bagaikan meniup semangat supaya kita sama-sama melawan wabak Covid-19 dan memberi sinar harapan untuk bertemu kembali insan tersayang jika terus mengamalkan SOP yang telah ditetapkan," ujarnya.
Menariknya, muzik video lagu yang dirakam secara virtual itu turut mendapat perhatian Kementerian Kesihatan Malaysia.
Di ruangan komen di Youtube, KKM turut meminta kebenaran agar lagu tersebut dimainkan di Facebook sebelum sidang media harian dijalankan.
"Kami ingin memberi semangat kepada frontliner di Sabah dan untuk rakyat Sabah juga," tulisnya.
Insan Tadau yang sudah mencecah lebih 40,000 tontonan di Youtube itu merupakan kolaborasi ketiga Marsha dan Velvet selepas popular dengan lagu Sumandak Sabah dan Oi Gaman.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live