Presiden Marvel Studios, Kevin Feige memberitahu stesen berita United Kingdom, BBC, bahawa terdapat perancangan untuk membawa watak Ms. Marvel atau Kamala Khan ke layar perak.

Kamala Khan merupakan watak gadis Muslim berdarah Pakistan yang dilahirkan dan membesar di New Jersey, Amerika Syarikat.

Feige dalam temu bual tersebut mengatakan pihak Marvel agak pasti untuk membawa watak adiwira Muslim dari komik itu ke layar perak.

"Captain Marvel sedang dalam proses penggambaran bersama Brie Larson. Kami agak pasti bahawa kami akan membawa watak Ms. Marvel, iaitu salah seorang karakter dari komik, adiwira beragama Islam yang diinspirasikan dari watak Captain Marvel, ke peringkat lain.

"Kami mempunyai perancangan sendiri setelah memperkenalkan Captain Marvel kepada dunia," katanya.

Sementara itu Deadline pada 1 Oktober 2020 melaporkan selepas pencarian yang lama, Marvel akhirnya menemui Ms. Marvel. Studio itu dikhabarkan akan menampilkan pelakon baharu, Iman Vellani untuk membintangi siri Disney Plus berdasarkan karakter dalam komik.

Pihak Marvel juga telah memilih beberapa nama seperti Adil El Arbi dan Bilall Fallah serta Sharmeen Obaid-Chinoy dan Meera Menon sebagai pengarah projek tersebut.

Gelaran Ms. Marvel telah diguna oleh watak-watak komik Marvel lain sebelum ini termasuk Captain Marvel sendiri iaitu Carol Denvers.

Ms. Marvel yang digunakan oleh watak Kamala Khan mempunyai keupayaan untuk mengubah bentuknya mengikut situasi.

Watak tersebut dicipta pengkarya buku komik terkenal seperti Sana Amanat, Stephen Walker, G. Willow Wilson dan Adrian Alphona.

Khan merupakan karakter buku komik Marvel beragama Islam pertama yang menjadi watak utama. Isu pertama komik Ms. Marvel bersama Khan memenangi anugerah ternama untuk karya fiksyen sains, Anugerah Hugo, untuk jalan cerita grafik terbaik pada 2015.

Sejurus pengumuman tersebut, rata-rata peminat turut bekongsi kegembiraan mengenai perancangan membawa watak adiwira beragama Islam pertama ke layar perak.

Malah, ada juga peminat yang mencadangkan nama selebriti Bollywood yang sudah mencipta nama di Hollywood seperti Priyanka Chopra untuk membintangi filem itu.

Meskipun pihak media dan Iman sendiri sudah memberi bayangan dirinya akan menjadi Ms Marvel Islam pertama, namun berita itu masih belum diumumkan secara rasmi oleh pihak Marvel dan Disney Plus.

Speechless and excited! Wish me luck. ❤️ #msmarvel

A post shared by Iman Vellani (@imanvellani) on