“Masa Arwah Hidup, Dia Pernah Cakap Nak Usianya Sampai 43 Tahun Sahaja” - Ina Naim Reda Pemergian Suami
Gempak
15/11/2023 22:55 MYT
15/11/2023 22:55 MYT
Penyanyi, Ina Naim reda dengan pemergian suami tercinta, Allahyarham Suhaimi Saad yang disahkan meninggal dunia pada Rabu, jam 7:40 malam selepas mengalami komplikasi jangkitan kuman pada paru-paru.
Menurut Ina atau nama sebenarnya Nordiana Mohd. Naim, 39, pemergian suaminya bertemu Ilahi sangat mudah dan senang ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru.
“Pada bulan Ogos dia dah mula batuk teruk, lepas bulan Oktober dia dah mula cirit-birit hingga turun berat badan 20 kilogram (kg).
“Masa arwah hidup, dia pernah cakap memang nak usianya hanya sampai 43 tahun sahaja dan tarikh lahir dia 12 Oktober masa itu dia dah mula sakit.
“Arwah dah dimasukkan ke hospital enam hari, dah ditidurkan dari Hospital Kota Tinggi atas permintaan arwah sendiri sebagai jalan terakhir, perjalanan akhir arwah sangat mudah dan tenang, di sisi dia ada saya dan semua anak-anak,” katanya seperti yang dilapor Kosmo! Online.
BERITA TRENDING: Suhaimi Saad Meninggal Dunia
Bekas anggota kumpulan Inteam itu dimasukkan ke Hospital Kota Tinggi sejak Jumaat lalu sebelum dirujuk ke HSI Johor Bahru.
Dalam pada itu, Nordiana atau lebih dikenali sebagai Ina Naim turut memanjatkan permohonan maaf bagi mewakili arwah suaminya.
“Saya mohon maaf jika suami saya tersilap kata atau ada menyinggung perasaan mana-mana pihak atau termakan, terminum atau terambil saya memohon maaf bagi pihak dia,” katanya.
Allahyarham Suhaimi berkahwin dengan Ina pada 12 Ogos 2007 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ehmad Hadie Elfardie, 15, Sallman Elkhoyri, 13, Phyrosh Elfadwah, 11 dan Nur Layla Elghufrony, 9.
Terdahulu, jenazah Allahyarham Suhaimi dimandi dan dikafankan di Jabatan Perubatan Forensik HSI sebelum dibawa pulang ke rumah keluarga Ina di Felcra Sungai Ara, Kota Tinggi.