Pemergian yang tidak disangka-sangka. Itulah yang dirasakan oleh penyanyi Diddy Hirdy dan isterinya Allen Nor Azah Musa apabila ibu kepada Allen meninggal dunia di kediaman keluarga di Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang, Johor, Ahad lalu.

Lebih memeritkan, ibu mentuanya Allahyarham Hasnah Salleh meninggal dunia ketika mereka sekeluarga masih lagi berada di Liverpool, England kerana Diddy sedang menghabiskan pengajiannya.

"Dulu masa arwah ayah mentua Diddy sakit pada tahun 2014, Diddy sedang menghabiskan pengajian peringkat Sarjana di University of Liverpool. Ketika itu hanya Allen (isteri) yang pulang ke Malaysia.

"Ketika menjaga ayahnya, tanpa disangka Allen yang sedang mengandung ketika itu keguguran. Diddy kehilangan ayah mentua, Allen kehilangan ayah, dan kami kehilangan anak yang dikandung," kata Diddy ketika dihubungi Gempak.

Tahun lalu, arwah ibu mentuanya terjatuh dan terpaksa dirawat. Ketika itu Diddy pula dalam fasa menyiapkan pengajian PhD juga di Liverpool.

"Tahun lepas Allen pulang selama tiga bulan untuk menjaga emak. Anak-anak ditinggalkan bersama Diddy di Liverpool kerana Diddy tahu sangat sukar untuk dia bergerak ke sana sini jika ada dua anak kecil bersama.

"Semuanya Allen selesaikan untuk emak selama tiga bulan tersebut. Mencari orang untuk menguruskan hal-hal ibunya termasuk makan minum dan penjagaan lain. Nak tak nak, dia terpaksa pulang ke Liverpool kerana ada dua anak kecil yang memerlukan ibunya juga," terang Diddy yang masih lagi bersedih.

Tambah Diddy lagi, Allen sepatutnya pulang lebih awal ke Malaysia bersama anak-anak tetapi wabak Covid-19 pula melanda dan dia tidak mahu mengambil risiko menyuruh isteri dan anak-anaknya pulang ketika itu.

"Allen sentiasa berhubung dengan arwah. Dia pastikan semuanya terjaga. Ada orang yang dibayar untuk menjaga mak setiap hari dan setiap masa.

"Dia akan buat panggilan video setiap masa, berbual dengan arwah, pujuk makan dan melakukan sedaya upaya dari jauh. Kami pun memang dah bercadang untuk bawa arwah tinggal bersama bila pulang ke Malaysia nanti," kata Diddy lagi kepada Gempak.

Namun Allah adalah sebaik Perancang. Ibu mentuanya dijemput Illahi sebelum segala perancangan yang mereka buat dapat dilaksanakan.

"Allah lebih sayangkan dia. Tentulah sangat sedih buat Diddy, tetapi Allen pastinya lebih sedih. Dengan keadaan Covid-19 sekarang ini yang semakin teruk dan pemergian yang mengejutkan, pastinya sukar untuk kami buat perjalanan pulang ke Malaysia.

"Apa yang mampu kami buat adalah melihat proses pengesahan daripada pihak paramedik hinggalah ke hari pengkebumian hanya melalui panggilan video sahaja," kata Diddy lagi.

Diddy turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang membantu dan juga mendoakan arwah ibu mentuanya.

Diddy yang sedang menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Muzik di University of Liverpool hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi untuk menamatkan pengajiannya.

Diddy yang berkahwin dengan Allen pada Februari 2010 dikurniakan dengan sepasang cahaya mata, Nadra Aryssa Jauza dan Abid Syabil.