Penyanyi dan pelakon, Jasper Supayah seolah tidak percaya apabila mendapat tawaran berlakon dalam filem Tarantula X.

Jasper berkata ini kerana para pelakon dalam Tarantula X merupakan nama-nama besar dan juga bintang lagenda.

“Saya rasa terharu sebab dapat bekerjasama dengan pelakon-pelakon yang sangat hebat, pelakon legend.

“Saya ingat lagi masa itu saya masih kecil lagi bila mereka berlakon. Jadi bila dapat tawaran seperti ini saya rasa terharu.

“Saya rasa macam siapalah saya ini, kecil sahaja jika nak dibandingkan dengan mereka,” katanya.

Mungkin ramai yang tidak tahu, Jasper merupakan bintang program realiti popular, Akademi Fantasia (AF2016).

Bagaimanapun, Jasper dilihat semakin membina nama dan mendapat perhatian sebagai seorang pelakon.

Selain filem, Jasper juga pernah membintangi drama Cruise Cinta Lebaran, Semusim Rindu, Alergi Mamat Romantik, Sara Sajeeda dan Ombak Rindu The Series.

Selain Jasper, Tarantula X juga menampilkan Eman Manan, Nam Ron, Adlin Aman Ramli, Vanidah Imran dan Mona Allen.

Saksikan Tarantula X yang sudah pun bermula sejak semalam, 16 Disember di Astro First saluran 480.

Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh distrim di Astro Go dan On Demand.

Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang.

Sinopsis:

Tiga sahabat, dua keluarga, berantakan kerana seorang perempuan penggoda.

Filem ini mengisahkan tentang perempuan mata duitan, Shima (Mona Allen) yang suka menjalin hubungan sulit dengan lelaki kaya termasuk suami rakan-rakannya, Ayu (Vanida Imran) dan Liza (Marissa Yasmin).

Apabila Adam (Namron) iaitu suami Ayu menjadi lumpuh dan berkerusi roda akibat serangan jantung, Shima beralih arah kepada suami Liza, Anas (Adlin Aman Ramlie).

Sebagai sahabat baik kepada Adam dan Anas, Amir yang masih bujang (Rashid Salleh) mendamaikan mereka tetapi gagal.

Tanpa pengetahuan Anas, isterinya cuba menjodohkan Amir dengan Shima. Namun Shima menolak dan menghina Amir.

Modus-operandi Shima adalah mengambil “selfie” bersama pasangannya di atas katil lalu foto-foto tersebut dijadikan senjata untuk peras ugut mereka bagi mendapat wang yang dapat menampung kehidupan mewahnya.

Apabila Anas ingin memutuskan hubungan, Shima mengugut untuk sebarkan gambar dan menuntut RM1 juta, dan itu mencetus kemarahan Anas. Apabila Shima dijumpai mati dibunuh, penyiasatan yang diketuai ASP Anuar bermula.

Sebagai saksi utama, Ain iaitu adik angkat yang tinggal bersama Shima juga tersenarai sebagai suspek pembunuhan termasuk Anas, Ayu, Amir dan Adam.

Setiap mereka mempunyai asas dan sebab untuk melakukan pembunuhan berikut. Teka-teki motif dan suspek dibawa hinggalah ke babak terakhir untuk membongkar misteri pembunuh sebenar Shima.