Pelakon dan pengacara rancangan MeleTOP, Neelofa mengimbas memori ketika menyertai Dewi Remaja 2009 / 2010.

Selepas menyandang gelaran Dewi Remaja edisi 2009 / 2010, pemilik nama penuh Noor Neelofa Mohd Noor terus mengorak langkah sukses di persada seni.

"Banyak momen yang menyeronokkan ketika saya terlibat dengan Dewi Remaja. Ketika saya terlibat dalam program terbabit, saya masih 'hijau' lagi..

"Pada masa itu, pengaruh media sosial tidak sekuat sekarang. Semua peserta sama-sama bermula dari bawah dan pengalaman itu sangat segar di ingatan," kata Neelofa.

Mengakui semuanya bermula dengan sama rata, Neelofa sangat berbangga dengan pertandingan Dewi Remaja.

"Semuanya dilakukan bersama dan saya bersyukur kerana akhirnya dinobatkan sebagai juara.

"Saya sangat bangga mengatakan pertandingan terbabit dekat di hati saya dan berharap penganjurannya kekal sukses," katanya lagi.

Diacarakan oleh Scha Alyahya, Dewi Remaja 2018 / 2019 bersiaran setiap hari Ahad, pukul 10.30 malam di saluran Astro Ria (104) & Ria HD (123) bermula 25 November.