Di hujung talian Ellie Suriaty Omar dengan penuh santun menolak permintaan #G The Untold Story untuk melakukan sesi pemotretan bersamanya.

“Saya mahu menjaga edah, kecuali ia bersangkutan hal kerja,” kata Ellie yang akhirnya mengalah kerana dijelaskan sesi pemotretan ini juga termasuk dalam bidang kerja beliau.



Dan petang seperti dijanjikan, pelaku seni yang cukup disegani ini hadir. Dengan panahan mata yang tajam tapi sarat pesona dan senyum manis serta bicara nada sederhana, Ellie berbagi falsafah hidup, cinta dan kisah rumah tangga bersama Azri Iskandar yang harus bertemu titik hujung pada usia 19 tahun pernikahan.

Ellie, 52, juga memberi definisi tentang kekuatan seorang wanita yang biasa punya skeptikal sebagai golongan lemah.

Gempak: Terima kasih kerana sudi menyambut lamaran kami untuk temubual eksklusif ini. Bagaimana kehidupan Ellie sekarang?

Ellie: Alhamdulillah, saya baik. Saya baik. Sibuk dengan projek baharu untuk tayangan di Astro First. Saya menulis skripnya pada fasa fasa selepas penceraian berlaku.



Bila idea datang, ia tidak boleh ditahan, jadi saya fokus menulis. Ironinya saya yang baru bercerai menulis sebuah kisah cinta sejati yang diangkat dari kisah besar seorang wanita yang masih setia menghantar makanan kepada bekas suaminya yang meninggal dunia kerana mempertahankan tanah air di sebuah balai polis. Saya tak sabar untuk memulakan penggambaran naskhah yang akan saya arahkan ini juga.

Gempak: Tidak banyak wanita mungkin boleh move on sekelip mata lepas bercerai. Apa lagi dengan usia perkahwinan yang cukup lama iaitu 19 tahun. Tapi anda rileks dan boleh tulis skrip pada masa sama?

Ellie: Saya very bold, tapi sebenarnya sudah ambil masa bertahun tahun tentang keputusan ini. Lebih empat hingga lima tahun lalu saya dah proses tentang ini (keputusan bercerai). Bukan sebulan dua. Tak boleh ambil keputusan dalam keadaan marah, emosional dan tidak adil.

Dalam perkahwinan bukan hanya saya dan dia tapi anak-anak. Anak-anak sedang membesar dan melalui fasa memberontak, remaja, tapi mereka faham dan hormat keputusan saya.

Kepada Azri pula, saya cakap dia selalu menjadi keluarga saya, jadi stay as family. Ini masa untuk kami bahagi masa untuk anak, kerjaya dan mengembara. Fokus kepada diri sendiri, memang sebab masa berkahwin fokus terpecah dengan kekangan yang positif.



Sekarang kami tidak bergerak atas kekangan yang positif, jadi sekarang tidak bertanggungjawab atau komitmen untuk keluarga.

Gempak: Tapi anda kelihatan sangat kuat dan penyabar sehingga akhirnya memutuskan sebuah keputusan besar ini.

Ellie: Semua wanita ada tahap sabar yang luar biasa. Ada ramai malah yang lebih sabar dari saya. Saya memang seorang yang agak rebel. Ya, selalu perempuan tunggu untuk diceraikan suami, tapi saya yang ambil keputusan untuk pull out.

Saya solat, minta petunjuk. Saya percaya cinta bukan untuk merintih paksa. Cinta kena sentiasa panas, ya bila dah lama kadang kadang cinta boleh jadi malas, tapi setiap hari kita melalui perkara baru yang menarik, jadi sepatutnya tak bosan. Tapi saya tak boleh paksa orang stay dalam perkahwinan. Saya pergi.

Azri terkejut dengan keputusan saya. Saya tanya berapa lama kita nak macam ni? Dia tak beri jawapan. Saya minta timeline adakah setahun 5 tahun, 10 tahun? Juga tak ada jawapan. Jadi saya tak boleh paksa dan tak boleh hidup begini.

Saya tak cakap Azri bad husband, dia fair dengan saya. Tapi kita tak jumpa sudah titik persamaan. You cannot be a single women in a marriage. Saya pilih untuk menjadi single.

Tak Promosi Perceraian

Gempak: Perceraian kalian membuat banyak mata terbuka seperti perkahwinan yang lama sampai 19 tahun pun boleh terlerai. Jadi ada juga mungkin yang ragu ragu nak berkahwin melihat situasi ini?



Ellie: Saya orang yang hopeless romantic, sangat! Untuk wanita muda atau berapa pun usia anda, jumpa orang yang betul, kahwin. Alam perkahwinan sangat berbeza dengan single life. Jangan takut, jangan berhenti untuk bercinta dan berkahwin. Setiap lelaki berbeza, every men is not my husband.

Saya tak cakap perkahwinan saya tak baik untuk saya. Saya bersyukur atas kehidupan pernah ada cinta antara satu sama lain termasuk kasih sayang pada anak anak serta anak tiri saya. Tapi saya tidak boleh paksa untuk terus bersama jika tiada lagi titik pertemuan yang sama.

Sekarang saya faham, kalau sayang orang let them go. Saya sudah melakukannya. Bukan kami tidak berusaha, tapi sudah tidak boleh dilakukan dengan apa yang kita nak. Saya hopeless romantic, saya suka cuddle, pegang tangan. Saya tak nak jadi bila tua mula tinggal berasingan dalam bilik, tapi ia sudah tidak boleh.

Gempak: Anda sangat realistik dan jelas dengan apa yang dimahukan dalam hidup termasuk melepaskan orang yang disayangi?

Ellie: Saya sayang dia sangat, tapi saya tak boleh paksa dia stay. Kami pernah ada cinta yang banyak satu masa dulu, tapi ia sudah nampak kurang dan saya tak boleh berada di situ lagi. Saya kena hadir, realistik, belum mati, inilah hidup.

Gempak: Bagaimana menjelaskan dan penerimaan anak anak?

Ellie: Sekarang anak lelaki tinggal dengan Azri, anak perempuan dengan saya. Kami bercakap secara terbuka dengan anak anak. Mereka juga berani bercakap dan ada pendapat serta pemikiran sendiri. Saya hormatinya. Jadi anak saya cakap kalau saya nak bercerai, tunggu sehingga saya selesai SPM.

Anak anak saya cakap pada anak tiri saya, mereka bercerai tapi kita akan okay. Saya beritahu dia, saya ceraikan ayah anda, bukan ceraikan anda. Kita tidak akan berubah kerana sayang yang kita dah beri dan tak nak ambil balik.



Gempak: Definisi hidup sekarang?

Ellie: Masa bersama Azri saya tidak hidup terkongkong, saya diberi kebebasan bekerja. Tapi sebagai isteri saya kena tahu bawa diri sebagai seorang suri rumah, ibu atau wanita bekerja. Dan saya lakukan tuntutan tuntutan tersebut, namun berbalik semula kepada titik persamaan yang diinginkan tidak lagi ditemui, maka itu saya pergi. Saya tak boleh letak diri saya dalam keadaan yang tidak ada jawapan.

Dan saya mahu tegaskan ini. Saya tidak promosi penceraian. Jika rasa tak jumpa persamaan, cerai. Tidak ya.

Saya bukan orang yang bila dah bercerai, saya benci. Saya sudah lama hidup dengan dia sebab itu jangan ambil keputusan dalam keadaan yang sangat marah misalnya.

Tapi saya bercakap mengenai hidup. Kena Realistik, kena hadapi realiti itu daripada cuba mengelak atau menghidupkan benda yang sudah tidak ada.

Tentulah dalam 19 tahun mesti ada percubaan, banyak kali. Tapi ia kembali ke keadaan sama. Okaylah. Saya cuma nak Azri gembira dengan siapa pun yang dia mahu hidup bersama.

Gempak: Selama ini anda dikenali sebagai antara anak seni yang sangat menjaga privasi. Namun berita penceraian telah membuat anda perlu membuka ‘pintu’ privasi ini.

Ellie: Sejujurnya, saya memang tak nak cakap pasal peribadi tetapi saya melihat ini sebagai perjalanan hidup. Saya bercakap tentang perasaan saya, bukan saya memburukkan dia. Saya tak sedih saya dah terima bila nak bercerai atau dia mahu berkahwin lagi. Saya sudah terima, ikhlas dan maafkan. Kami berdua tidak bercakap buruk tentang satu sama lain selepas bercerai.

Tunggu edah 101 hari, baru kahwin

Gempak: Azri mahu kahwin semula. Cemburu?

Ellie: Saya tertanya mungkin wanita yang mahu dikahwini ini pernah wujud dalam perkahwinan kami. Tapi mungkin hubungan terputus dan kini setelah saya bercerai, mereka bersama kembali. Cara melihat foto yang saya tengok misalnya selesa dipeluk, ia tak macam baru dua hari kenal. Mungkin sudah lama ada hubungan.



Pasal cemburu, saya memang tak cemburu. Saya tak sakit hati, saya sudah persiapkan diri saya untuk semua perkara yang akan terjadi di depan. Cuma mustahil kenal dua atau lima hari ajak menikah. Saya rasa ya dua hari selepas saya bercerai nak kahwin, tapi sebelum kami bercerai mesti ada berlakunya hubungan itu.

Kalau tanya saya, saya berpendapat pergi merisik senyap-senyap, kahwin. Edah saya 100 hari. Kahwinlah pada hari ke-101 edah saya habis. Ini masa untuk anak-anak juga tinggal sendirian dengan saya dan dengan Azri.

Gempak: Bagaimana dengan anda pula. Ada terfikir untuk perkahwinan baharu atau didekati lelaki lain?

Ellie: Untuk dia, of course ada ramai perempuan jauh lebih baik dari saya. Wang ringgit atau cantik, lebih sabar misalnya. Tapi orang itu bukan saya, bukan Ellie Suriaty. Ini juga maksud saya mengenai nak gelang atau apa materi, tapi saya tak kisah. Saya wanita yang rugged dan simple. Saya cakap dari segi diri saya sebagai individu yang simple dan suka simpan duit.

Untuk lelaki pula, mungkin ada yang takut mendekati saya konon kerana high maintenance. Lelaki tak perlu takut kerana saya tak faham kalau ada lelaki rasa takut atau tercabar nak dekati Ellie Suriaty.

Gempak: Ini hanya pandangan. Kalian masih dalam tempoh edah. Manalah tahu ada yang berubah fikiran. Seandainya Azri mungkin mahu kembali rujuk atau anda sendiri ada terfikir untuk kembali bersama?

Ellie: Better kita move on. Saya redha dengan perjalanan hidup saya sekarang.

Kita dah pernah hidup bersama, cuma saya tak mahu lihat hidup dia sedih. Kalau dia nak kahwin lain, jangan main-main dengan perkahwinan atau hidup orang.

Untuk saya pula, bila saya sudah buat keputusan tak nak menyesal. Tak nak patah balik. Saya tak nak ada what if. Ia hanya perlu yes or no sahaja.

Gempak: Filem terbaharu lakonan anda, Mat Kilau sedang ditayangkan di pawagam. Banyak pro dan kontra yang dibahaskan mengenai biopik ini. Bagaimana dengan anda?

Ellie: Dari segi claiming saya pasti keturunan Allahyarham Mat Kilau ini ramai dan akan ada banyak versi untuk diberitahu. Meski demikian, orang industri kreatif, kita akan ambil perkara yang paling impak kepada penonton kerana kita ada lesen dan kebebasan untuk menjadikan ia lebih komersial.

Jika mahu ikut betul betul, ia lebih baik menjadi sebuah dokumentari.

Apa yang Mat Kilau terapkan adalah untuk generasi baharu memahami bagaimana sukarnya mempertahankan agama dan hak kita. Namun, ia tidak menjadikan kita rasis atau berpuak puak. Ia hanya mengenai mempertahankan tanah orang Melayu. Langsung tidak menyinggung mengenai rasis. Filem di belahan dunia macam China pun, bercakap tentang perjuangan motherland mereka tapi ia juga bukan tentang racism.