Masalah Dengan Kekasih Punca Pelancong Asing Jatuh Dari Tingkat 7 Di Gurney Plaza Georgetown
Masalah dengan kekasih dipercayai punca seorang pelancong asing terjatuh dari tingkat tujuh sebuah bangunan pusat membeli-belah di Persiaran Gurney, Georgetown pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, maklumat itu diperoleh hasil temu bual dengan keluarga mangsa namun setakat ini pihaknya belum dapat mengambil keterangan daripada mangsa sendiri.
"Lelaki itu mempunyai kerakyatan Amerika Syarikat dan datang ke sini bersama keluarganya untuk melancong sejak 1 Februari lepas dan mereka dijangka pulang pada 12 Februari ini. Keluarga memaklumkan mangsa ada masalah perhubungan tetapi siasatan masih dijalankan.
"Mangsa kini berada dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP),” katanya pada sidang media di sini pada Khamis.
Pada Rabu, seorang pelancong warga asing berusia 25 tahun cedera di kepala selepas terjatuh dari tingkat tujuh sebuah pusat beli-belah di Persiaran Gurney.
Gambar mangsa terjatuh di atas bumbung replika bangunan dekorasi Tahun Baharu Cina tular di media sosial.
Sumber: Bernama