“Masalah Psikologi…”- Bapa Anak Salah Buat Mini Love Minta Padam Video Anak Dari Dikecam
Syafiqah Jalal
03/09/2022 02:07 MYT
03/09/2022 02:07 MYT
Bapa kepada kanak-kanak lelaki yang tular selepas tersilap menunjukkan isyarat 'mini love' ketika perarakan Hari Kebangsaan ke-65 di Dataran Merdeka Kuala Lumpur pada Rabu lalu tampil memohon maaf atas keterlanjuran anaknya menunjukkan isyarat jari tengah tanpa sengaja.
Lelaki itu yang menggunakan nama Maulana Ahmad Suwito membuat permohonan maaf itu menerusi hantaran di Facebook (FB) miliknya, pada Khamis.
Maulana akui kemungkinan anaknya bernama Muhammad Azwar terlalu teruja ketika itu.
“Saya dengan ini memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia, selaku ayah kepada Muhammad Azwar yang tersilap mini love tu.
“Dia sebagai peminat bomba memang exited sgt dapat terlibat dalam perbarisan kemerdekaan walaupon bangun pkol 5 pagi.
“Dari semalam excited sangat dapat pakai baju bomba. Tapi saya sebagai bapa tetap bangga akan keberaniannya turut serta walaupon bidan terjun,” tulisnya.
Dalam pada itu menerusi hantaran berasingan, dia jufa turut memohon jasa baik netizen supaya memadam video dimuat naik di laman sosial supaya anaknya tidak dikecam dan terganggu.
"Saya memohon sepuluh jari agar video itu dapat diturunkan agar tidak lagi dikecam dan menjadi asbab masalah psikologi kepada anak saya.
"Mungkin dengan jasa baik sebesar ini Allah Taala memuliakan serta menambah rezeki yang nampak dan tidak nampak dimata. Amin Ya Rabb," tulisnya lagi.
Video kanak-kanak lelaki menunjukkan isyarat jari tengah dan bukan 'mini love' seperti yang sepatutnya ketika perarakan bot Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sempena sambutan Hari Kebangsaan itu tular dan menjadi bualan sejak Rabu lalu.
Aksi kanak-kanak itu disedari anggota bomba berdiri di sebelahnya yang bertindak pantas menutup tangan dan menegurnya.
Pengunjung yang hadir turut menyedarinya malah sempat merakam video aksi berkenaan.
Rakaman video itu dimuat naik di pelbagai platform laman sosial dan mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang rata-ratanya terhibur dengan gelagat kanak-kanak berkenaan.