Jom Sertai Keluang Man Fun Run yang akan berlangsung pada 18 Mei 2025 dan berlari bersama Borhan! 
HIBURAN

MASDO Raikan 10 Tahun Dalam Industri Muzik Dengan 'Perjumpaan Ahli Mesyuarat Tingkap', Umum Konsert Besar-Besaran

Amri Hassan 01/05/2025 | 07:34 MYT
Kugiran retro moden kegemaran ramai, MASDO, meraikan ulang tahun ke-10 perjalanan seni mereka dalam industri muzik tanah air dengan cara yang cukup unik dan penuh kejutan.
Majlis istimewa bertajuk “Perjumpaan Ahli Mesyuarat Tingkap” telah berlangsung meriah pada malam 30 April 2025 di Saloma, Kuala Lumpur, menyaksikan kehadiran lebih 200 peminat setia serta rakan-rakan media dalam satu perjumpaan tertutup yang penuh nostalgia dan simbolik.
Beberapa hari sebelum acara berlangsung, para peminat MASDO telah mula berteka-teki selepas ahli kumpulan seperti Ali Sariah, Asmawi dan Putu Ceri memuat naik hantaran misteri di laman Instagram mereka. Kandungan kriptik itu seolah-olah memberi bayangan akan berlakunya satu pengumuman besar.
Spekulasi para peminat akhirnya terjawab pada malam perjumpaan tersebut, apabila MASDO tampil dengan pengumuman yang tidak disangka-sangka.
Sebagai tanda penghargaan kepada para penyokong yang telah bersama mereka selama sedekad, MASDO menghadiahkan sebuah persembahan mini showcase yang penuh kenangan. Antara lagu-lagu popular yang dipersembahkan termasuk “Dinda”, “Lautan Asmara”, “Janji Manis”, “Bunga” dan “Berchanda di Malam Indah”, yang berjaya menghidupkan suasana dan membuatkan hadirin turut sama menyanyi dalam suasana penuh semangat.
Kemuncak majlis menyaksikan detik yang paling dinantikan, apabila MASDO secara rasmi mengumumkan konsert ulang tahun mereka yang diberi nama ‘Al-Kisah Masdo Sepuloh Tahun’. Pengumuman itu dilakukan secara simbolik apabila kain penutup yang melitupi bangunan MATIC ditarik turun, memperlihatkan poster rasmi konsert tersebut diiringi letupan bunga api yang memukau. Konsert mega ini dijadualkan berlangsung pada 30 Ogos 2025 di lokasi konsert baharu Malaysia, Idea Live Arena KL @ 3 Damansara, menjadikan MASDO sebagai artis pertama yang akan mengadakan persembahan di venue tersebut.
Dengan kapasiti yang mampu memuatkan 7,000 orang, Idea Live Arena KL memberi peluang kepada MASDO untuk meraikan ulang tahun mereka bersama peminat dalam suasana lebih eksklusif dan intim.
Para peminat yang ingin menjadi sebahagian daripada detik bersejarah ini diberi peluang untuk pra-daftar bermula 30 April hingga 1 Mei bagi mendapatkan tiket pada harga istimewa Rockzone Early Bird iaitu RM128.
Sekiranya terlepas tempoh tersebut, mereka masih berpeluang membeli tiket semasa jualan umum dengan harga Rockzone (Free Standing) RM148 dan Cat 1 (Free Seating) RM198.
Konsert ‘Al-Kisah Masdo Sepuloh Tahun’ dianjurkan oleh Hitman Solutions, sebuah syarikat penganjur berpengalaman yang telah berkecimpung dalam penganjuran konsert berskala besar selama lebih 15 tahun.
Dengan kepakaran dalam pengurusan dan pemasaran acara, konsert ini dijangka menampilkan produksi bertaraf tinggi serta barisan lagu-lagu hits yang telah membina legasi MASDO sejak penubuhan mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hitman Group, Rohit Rampal, turut menyatakan bahawa pihaknya berbangga dapat merealisasikan konsert ini sebagai satu penghargaan buat MASDO dan para peminat mereka.
Menurut beliau, MASDO merupakan satu nama yang membawa warna tersendiri dalam dunia muzik Malaysia, dan sambutan ulang tahun ke-10 ini perlu diraikan dengan penuh meriah dan istimewa.

“Sebagai rakyat Malaysia yang turut bergiat dalam dunia hiburan dan muzik, kami sentiasa mencari peluang untuk menyokong artis tempatan. Dengan pengalaman, bakat, dan legasi MASDO yang tidak pernah pudar sepanjang satu dekad ini, ulang tahun ke-10 mereka perlu diraikan dengan penuh meriah.

"Bagi kami, pengumuman besar ini perlu dimulakan dengan sesuatu yang benar-benar istimewa dan penuh kejutan, supaya perjalanan menuju hari konsert nanti menjadi lebih bermakna,” jelas beliau.
Konsert ini turut direalisasikan dengan kerjasama Warner Music, pengurusan artis Kugiran Masdo Empire, serta beberapa rakan rasmi seperti Saloma Kuala Lumpur selaku venue rasmi, ERA, Sinar dan Gegar sebagai radio rasmi, dan Astro Gempak selaku media rasmi.
Untuk maklumat lanjut mengenai konsert dan pembelian tiket yang akan diumumkan tidak lama lagi, orang ramai boleh mengikuti akaun rasmi MASDO (@kugiranmasdo) dan Hitman Solutions (@hitmansolutions) di media sosial, atau hubungi mereka di talian +6012-265 5783 atau menerusi e-mel concerts@hitman.group.
#Konsert #Anniversary #Masdo #Kugiran