Pelakon Lisdawati gembira kerana masih menerima tawaran lakonan meskipun dia telah berehat selama empat tahun sebelum ini.

Menerusi laporan HLive, Lisdawati mengatakan sekarang merupakan masa yang sesuai untuk dia kembali bergiat dalam bidang lakonan.

"Masih ada tawaran berlakon walaupun saya dah berehat lebih kurang empat tahun sebelum ini, saya ada kembali sekejap, tetapi berehat semula kerana saya hamil ketika itu.

"Sekarang anak bongsu saya sudah pandai berjalan dan berlari, usia telah cecah 1 tahun 3 bulan, jadi saya rasa ini merupakan masa yang sesuai untuk saya kembali berlakon," ujarnya.

Dalam pada itu, Lisdawati juga memberitahu, suaminya Fauzi Nawawi juga turut kembali aktif berlakon.

"Suami saya juga kembali aktif berlakon sekarang, manakan tidak, tanggung jawab kami agak berat kerana ada ramai anak dan semuanya masih belum berkahwin," selorohnya.

Sekadar info, Lisdawati atau nama sebenarnya, Nisdawati Nazaruddin mula mendirikan rumah tangga dengan Fauzi pada 9 September 2007 selepas beberapa tahun menyulam cinta.

Untuk berita hiburan yang padat dengan informasi, jangan lupa saksikan HLive! yang bersiaran pada setiap Isnin hingga Sabtu pada jam 8.30 malam di Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).