Hiburan
Masih Berkawan, Perpisahan Berlaku Adalah Ketentuan Tuhan - Shahrul Nasrun
Bekas tunang kepada penyanyi Adira Suhaimi, Shahrul Nasrun akui masih lagi bersahabat walaupun ikatan pertunangan mereka terputus sekitar Mei lalu.
Malah Shahrul yang juga merupakan Presiden Gerakan Belia Gagasan 1Malaysia menerima perpisahan itu dan menganggap ia adalah ketentuan yang telah ditetapkan oleh tuhan.
“Soal benda jadi atau tidak itu adalah ketentuan Allah, walau setinggi mana kita merancang tetapi kalau dah ditentukan dia bukan milik kita maka tak jadilah.
“Sebagai seorang yang dewasa, saya menerima ketentuan itu sepertimana yang telah ditetapkan untuk saya.
“Walaupun sudah tidak mempunyai hubungan istimewa, namun kami masih berkawan dan ikatan persahabatan yang dibina itu tidak boleh diputuskan.
“Saya baik dengan semua orang, bukan sahaja dengan dia (Adira) malah dengan bekas kekasih sebelum ini pun saya baik juga,” katanya ketika ditemui di sidang media Zikir Perdana bertempat di Hotel Majestic, pada Selasa.
Dalam pada itu, ditanya mengenai kenyataan Adira yang mendedahkan sukar untuk melupakan memori percintaan mereka, Shahrul enggan mengulas lanjut mengenai hal tersebut kerana ia terlalu peribadi.
“Tentang perkara itu saya tak boleh nak komen kerana ia terlalu peribadi bagi saya,” ujarnya pendek.
Di samping itu, Shahrul juga memberitahu dia masih belum terfikir untuk mencari pengganti dan hanya mahu memberikan fokus penuh terhadap kerjayanya.
Dalam perkembangan lain, Shahrul terlibat dalam program Zikir Perdana yang akan berlangsung pada 7 November depan di Masjid Putra, Putrajaya.
Program tersebut akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Zamidi.
Lebih 10 artis popular tanah air turut terlibat dalam program Zikir Perdana antaranya ialah Nabil Ahmad, Izzue Islam, Hisyam Hamid, Mawi, Afiq Muiz, Aishah Illias dan Johan As’ari.
Teks Oleh: Mya Amri
Must-Watch Video