HIBURAN
Masih Berkawan Seperti Biasa, Muaz Zabir Tepis Dakwaan Ibu Pernah Jadi Penghalang Hubungan Dengan Bella Astillah - “Jangan Babitkan Keluarga…”
Pelakon Muaz Zabir tampil memberi penjelasan susulan khabar angin yang mendakwa ibunya tidak merestui hubungan rapatnya dengan penyanyi dan pelakon popular, Bella Astillah sebelum ini.
Menafikan dakwaan tersebut, Muaz, 27, menegaskan hubungan antara keluarganya dan Bella Astillah berada dalam keadaan baik dan tidak pernah timbul sebarang isu seperti yang diperkatakan oleh sesetengah pihak.
"Saya tiada masalah dengan keluarga Bella dan begitu juga sebaliknya. Jadi hentikan kata-kata ibu saya tidak sukakan dia,” katanya kepada Gempak.
Ujar Muaz lagi, sebarang isu yang berlaku antara mereka sepatutnya tidak melibatkan ahli keluarga dan berharap orang ramai tidak terus membuat spekulasi tanpa usul periksa.
"Apa-apa salah saya dalam dunia ini, tolong jangan babitkan keluarga.
"Apa yang terjadi antara saya dan Bella tiada kena mengena dengan keluarga," ujarnya.
Menjawab spekulasi lanjut mengenai kononnya wujud campur tangan daripada keluarganya dalam hubungan tersebut, Muaz menafikan perkara itu dan menyifatkannya sebagai khabar angin tidak berasas.
"Saya membaca komen sebegitu dan tidak tahu dari mana puncanya. Saya tidak pernah membalas komen tentang perkara itu."
"Ibu saya tak pernah halang atau timbul pergaduhan. Hubungan saya dengan Bella pun baik-baik sahaja. Saya ada datang beraya ke rumahnya."
"Bella pernah berjumpa dan duduk makan bersama ibu saya. Kami masih berkawan seperti biasa,"ujarnya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai hubungan cinta, Muaz menjelaskan bahawa dia masih belum ada sebarang ikatan istimewa dengan sesiapa kerana mahu fokus kepada kerjaya.
"Belum ada hubungan istimewa. Fokus dahulu pada kerjaya dan mantapkan lakonan dahulu."
"Banyak perkara yang saya nak uruskan. Saya pun ada perniagaan yang dirancang. Saya masih sendiri," katanya.