Masih Miliki Walkman? Video Terbitan Sony Ini Confirm Gamit Memori Anda!

Hanafis Haris
Julai 2, 2019 14:58 MYT
Mungkin ada yang sempat dan tidak kurang juga yang tidak mengenali apa itu Sony Walkman.
Namun jika anda membesar sekitar 80-an hingga 90-an, maka peranti ini pastinya dianggap sebagai antara gajet paling ikonik. Walkman ibarat ‘iPod’ satu ketika dahulu.
Kini, pemain muzik mudah alih ini telah pun mencecah usia 40 tahun selepas mula dicipta pada 1 Julai 1979.
Bagi yang tidak tahu, Walkman telah dibina oleh pengasas Sony iaitu Masaru Ibuka selepas dia menghadapi masalah untuk mendengar muzik ketika berada di luar pejabat.
Walkman pada asalnya hanyalah berfungsi sebagai pemain kaset sebelum fungsi rakaman audio disertakan.
Sejurus selepas itu ia kemudian dinaik taraf kepada peranti pemain cakera padat, katrij MiniDisc dan pemain MP3.
Namun sejak penghasilan iPod dan juga telefon pintar, jualan pemain muzik ini semakin dilupakan.
Sebagai tanda penghargaan buat peminat yang selama ini membesar dengan peranti Walkman, Sony telah pun memuat naik satu video pendek di YouTube rasminya.
Anda boleh lihat perubahan dan evolusi Walkman tahun demi tahun menerusi video terbabit di bawah.
Sumber: Amanz
#Gajet #Sony #Walkman