HIBURAN

Masih Solo, Ara Johari Mahu Fokus Kerjaya, Bahagiakan Ibu Bapa - “Saya Belum Mampu Belikan Kereta, Rumah Seorang Satu…”

Umirah Halim 18/03/2025 | 20:55 MYT
Masih solo, penyanyi Ara Johari memaklumkan bahawa keutamaan hidupnya sekarang adalah fokus kepada kerjaya dan membahagiakan ibu bapa.
Meskipun ada individu yang cuba mendekatinya namun Ara atau nama lengkapnya, Nurfarrah Izzatie Johari, 28, berkata dia lebih selesa untuk berkawan terlebih dahulu.
“Setakat ini saya masih solo, saya memang meneruskan hidup tanpa berfikir tentang cinta. Saya percaya dengan aturan Allah, dan sekarang tunggu sahaja jodoh.
“Ada yang mendekati saya tapi saya mahu kenal dan berkawan dahulu.
“Bagi saya, fokus saya sekarang ialah mahu membahagiakan ibu bapa. Kalau mereka minta menantu barulah saya boleh buka hati berkahwin,” katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa dan pelancaran single Bazar Malam Raya penyanyi Ara Johari dan penampilan Trio Latah di Bizmilla, Putrajaya.

Mahu bahagiakan ibu bapa

Sementara itu, selain menumpukan fokus kepada kerjaya, pelantun lagu Bunga itu juga memaklumkan keutamaannya buat masa ini adalah mengumpul wang buat memberikan keselesaan kepada ibu bapanya.

“Lagipun saya belum mampu belikan ibu bapa kereta dan rumah seorang satu. Bila dah dapat, barulah saya fikirkan untuk kahwin. Ibu ayah tidak pernah bersuara atau mengadu tentang itu.

“Begitu juga dengan wang. Kalau saya ada duit, mereka tahu. Jika tiada pun, mereka tahu.

“Tapi adik saya akan berkahwin tidak lama lagi, langkah bendul orang kata. Doakanlah mana tahu ‘lekat’ pula jodoh,” ujarnya lagi.

#Solo #Rumah #Ibu Bapa #Ara #johari