Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Masjid Ditegur Layan Jemaah Sama Rata, Bukan Hanya Beri Keistimewaan Pada 'Kayangan'

Gempak
11/09/2021 15:30 MYT
Pihak pengurusan masjid diminta agar tidak membeza-bezakan layanan kepada individu atau kumpulan tertentu sebaliknya melayan sama rata jemaah yang hadir untuk menunaikan solat di masjid.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, layanan 'kayangan' itu tidak seharusnya berlaku dan pihaknya sedang mengenal pasti lokasi seperti dalam video yang tular di laman sosial semalam.

Video berkenaan memaparkan individu dikatakan kenamaan memasuki masjid tanpa menunggu giliran dan ia mengundang kecaman warga maya yang mempersoal wujudnya dua darjat antara orang kenamaan dan rakyat biasa.

"Pihak yang berhormat menteri agama sendiri telahpun meminta dan memohon penjelasan daripada pihak masjid khususnya di bawah kelolaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan insya-Allah dalam tempoh sehari dua lagi perkara ini kita akan selesaikan.

"Saya sendiri pun sebenarnya apabila ke masjid saya beratur, paling penting yang mahu ke masjid perlu pergi awal dan ambil tempat sesuai," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program pembahagian sumbangan bakul makanan dan wang tunai kepada 25 pengayuh beca menerusi Program Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Peduli: Musaadah YADIM-Bank Islam di Dataran Muhammadi, di sini hari ini.

Ahmad Marzuk berkata selain memastikan SOP dipatuhi, pihaknya turut mengingatkan pengurusan masjid supaya mempunyai budi bicara dalam menentukan kehadiran jemaah dan tidak hanya melayani kumpulan tertentu.

Beliau berkata pihaknya sentiasa memperbaharu prosedur operasi standard (SOP) membabitkan kehadiran jemaah di masjid.

"SOP jemaah di masjid sekarang masih lagi terhad iaitu dengan hanya jumlah minimum. Kerajaan memandang serius perkara ini dan kita akan sentiasa memperbaharu SOP mengikut kesesuaian.

"Kadar jangkitan wabak COVID-19 juga menjadi antara pertimbangan untuk kita perbaharui SOP bagi membenarkan lebih ramai jemaah dapat hadir ke masjid, namun paling penting sekarang kadar imuniti kelompok di negara ini perlu dicapai terlebih dahulu," katanya.

Sementara itu, pihak pengurusan Masjid Putra memohon maaf sekiranya wujud kekeliruan susulan penyebaran video tular kononnya timbul layanan berbeza kepada jemaah yang hadir solat Jumaat di masjid itu di sini semalam.
Menurutnya, segala tindakan pihak pengurusan masjid dibuat berdasarkan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang sudah ditetapkan pihak berkuasa.

“Apabila kapasiti jemaah mencukupi, pihak pengurusan masjid akan menutup pintu pagar utama masjid menyebabkan jemaah yang hadir kemudian tidak dapat memasuki masjid.

“Bagi solat Jumaat, kapasiti jemaah di Masjid Putra ditetapkan seramai 300 orang.

“Daripada jumlah itu, pihak pengurusan masjid turut memperuntukkan sejumlah kuota untuk jemaah tetap yang mendaftar lebih awal,” katanya menerusi kenyataan hari ini seperti dilaporkan Utusan Malaysia.

Semalam, seorang netizen berkongsi rakaman video yang mempertikaikan tindakan pihak Masjid Putra kerana hanya membenarkan individu kenamaan masuk menunaikan solat Jumaat sedangkan jemaah lain tidak dibenarkan masuk.

Video dengan durasi 57 saat itu menyaksikan sebahagian jemaah dilihat beratur sambil membawa sejadah dan apabila orang kenamaan datang dengan menaiki kenderaan mewah, pintu pagar utama dibuka untuk mereka.

Video itu kemudian tular di pelbagai sosial media yang kemudiannya menerima reaksi pelbagai daripada warga maya.

Sumber: BERNAMA
#Viral #Masjid #Solat Jumaat #SOP #Jemaah #Kayangan
;