Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Masjid India Serupa 'Pekan Koboi', Lengang Tanpa Pengunjung Seperti Dahulu

Ernalisa
29/08/2024 08:23 MYT
Dari gedung pakaian, kedai emas sehinggalah gerai-gerai di tepi jalan, jalan Masjid India, Kuala Lumpur kini sunyi sepi.

Hanya yang kelihatan mundar-mandir beberapa orang peniaga yang masih setia menanti pelanggan.

Macam 'Pekan Koboi'

Jalan Masjid India, Kuala Lumpur sebelum ini meriah dengan alunan muzik dan hiruk-pikuk pengunjung yang bertali arus, kini boleh diibaratkan seperti 'pekan koboi'.

Semuanya berubah semenjak insiden lubang tanah jerlus mengakibatkan warganegara India 'hilang' selepas terjatuh ke dalam lubang benam sedalam 8 meter di hadapan Masjid India baru-baru ini.

Menerusi tinjauan Gempak mendapati meskipun premis seperti gedung pakaian, kedai emas mahupun kedai-kedai di tepi jalan masih beroperasi, namun laluan di kawasan itu kelihatan suram tanpa kunjungan orang ramai.

Jualan merosot

Peniaga tempatan di Jalan Masjid India juga mengakui pendapatan mereka terjejas susulan insiden tanah jerlus Jumaat lalu.

Penjaga buah, Mohd Kasim mengeluh apabila ada antara buah-buahan jualannya rosak terpaksa dibuang begitu sahaja.

"Memang habis... kalau dulu buah pisang macam ini setakat tiga kotak sehari boleh habis dijual, sekarang ni sejak kes tanah jerlus nak habiskan sekotak pun susah.

"Tapi nak buat macam mana, dari kita langsung tak bekerja nak jadi apa? Nak tak kena berniaga juga walaupun tak ramai yang masuk sini," katanya kepada Gempak.

Roti tak habis

Bagi peniaga burger Amir Badri mengakui pendapatan mereka turun hampir 50 peratus berbanding sebelum kejadian. Sebelum ini, dia boleh menghabiskan antara enam ke lapan bungkus roti burger sehari.

"Sekarang ni nak habiskan sebungkus roti pun belum tentu. Memang sakit. Tapi apa boleh buat.

"Apa yang saya boleh buat, saya fokuskan pada Food Panda. Cuma kena kerja keras sikitlah," tambahnya.

Untuk info, pada 23 Ogos lalu seorang wanita warga India dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter susulan insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India semasa melalui jalan itu untuk ke kuil berhampiran.

Operasi SAR diaktifkan pada hari sama melibatkan anggota daripada pelbagai pasukan keselamatan dan pihak berkuasa tempatan yang telah menggunakan pelbagai teknik termasuk penggunaan unit anjing pengesan (K9) dan kaedah jetting.

Sehingga kini, mangsa belum ditemui dan usaha menyelamat masih lagi berlangsung.

#Masjid India #Tanah Jerlus #Pekan Koboi