Pelawak Chiwan mengakui berasa terharu kerana rata-rata penonton program The Masked Singer Malaysia berjaya meneka namanya ketika mengenakan kostum Reno.

Menurut Chiwan, dia tidak menyangka ramai yang mengenali suaranya biarpun dirinya kurang dikenali ramai.

"Berdasarkan apa yang saya tengok dekat Instagram (IG) dari minggu pertama lagi ramai yang teka nama saya.

Saya rasa macam uish saya ni tak popular pun tapi orang kenal suara. Sebenarnya saya berasa terharu, jujur saya cakap.

"Kiranya saya diterima dalam industri ini. Dengan suara saja orang boleh kenal, kiranya mereka betul-betul hargai kita," katanya kepada Gempak.

Sementara itu, pemilik nama Mohd Azwan Sabri ini menyatakan dia terpaksa menahan diri daripada membalas mesej yang dihantar pengikut di ruangan Direct Message (DM).

"Banyak yang komen dan tagged saya dekat DM. Saya diam ja tak cakap apa-apa.

"Selalunya saya tak macam ni, saya akan melayan mesej yang dihantar. Mesti cakap saya 'kekwat' tapi mereka tak faham 1 juta tu," katanya lagi.

Minggu suku akhir menyaksikan Enggang mengungguli di tempat pertama dengan dendangan lagu Awan Yang Terpilu nyanyian asal Ning Baizura.

Reno pula terpaksa akur berada di kedudukan paling bawah dengan nyanyian lagu Khayalan dendangan asal kumpulan Ruffedge dan VE sekaligus tersingkir.

BACA: The Masked Singer Malaysia: Reno Terkeluar, Ini Kedudukan Peserta Beserta Markah Penuh Minggu Suku Akhir!

Datuk Aznil Haji Nawawi, Michael Ang, Raja Azura, Zizan Razak, Ella Aminuddin, Remy Ishak, Nabila Huda, Ramona Zam Zam dan Angah Raja Lawak memainkan peranan sebagai juri tetap.

Di samping itu, Datuk AC Mizal yang merupakan pengacara tersohor menggalas tugas sebagai hos.

Program The Masked Singer Malaysia dimeriahkan lagi dengan siri Live+ yang akan dihoskan oleh Izzue Islam dan Elly Ariffin.

The Masked Singer Malaysia yang dibawakan oleh SK magic dan Oppo selaku penaja utama itu bersiaran menerusi saluran Astro Warna (CH127) dan Warna HD (CH107) iaitu pada setiap Jumaat, jam 9 malam.

Program ini juga boleh distrim secara eksklusif melalui aplikasi Astro GO dan kemudahan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

BACA: Nabila Huda Perjelas Konsep 'The Masked Singer Malaysia', Ada Sebab 9 Juri Gabung Bersama