Laman Utama
Mass Music Dedikasi Lagu Buat Semua Yang Terkesan Dengan Pandemik COVID-19
Semestinya pandemik COVID-19 yang melanda dunia sejak tahun lalu memberi pelbagai kesan kepada kita semua.
Tidak terkecuali, hal itu turut dirasakan oleh kumpulan Mass Music yang sekaligus menjadikan ia sebagai inspirasi dalam lagu baru mereka berjudul Di Sini.
Bagi kumpulan yang dianggotai Alan D, Mingaling, IYB Midnight, AxelJonas dan Yutaka ini, amat penting untuk mereka mencetus sinar harapan buat masyarakat di luar sana agar kekal tabah menjalani kehidupan terutama mereka yang hidup sendirian tanpa ada sesiapa di sisi.
“Lagu ini ditujukan kepada insan penting yang kita simpan rapi dalam hati dan penting dalam hidup kita. Boleh jadi ibu bapa, adik-beradik, kekasih, suami isteri, dan lain-lain.
"Meskipun berdepan dengan dugaan hidup pada situasi sekarang, namun mereka sentiasa ada di hati, menyokong kita.
“Meskipun mereka bukan berada depan mata, kita masih mengambil berat terhadap mereka sebaiknya.
“Paling kami suka mengenai lagu ini adalah rentak serta korusnya.
“Rentaknya dibuat oleh Mingaling yang sentiasa cemerlang menghasilkan rentak terbaik. Menariknya, dia berjaya memberi suatu perasaan penuh harapan kepada lagu yang sedih dan syahdu ini.
“Korusnya mengatakan ‘aku ada di sini, jangan bimbang’”, kata mereka.
Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sememangnya menjadi titik mula tercetusnya idea ini.
Kongsi Mass Music, mereka tidak terlepas berdepan cabaran sewaktu proses pembikinan lagu ini, menariknya, situasi dialami benar-benar membantu.
Daripada pengalaman sendiri juga, mereka berjaya salurkan emosi dengan lebih berkesan dalam lagu ini.
“Lagu ini dibuat sewaktu PKP pertama dan disebabkan terkurung, susah buat kami untuk berjumpa sekali di studio. Proses memerah otak dan segala aspek lain dibuat sepenuhnya dari rumah.
“Paling mencabar semestinya keseragaman waktu di mana setiap kami terikat dengan komitmen masing-masing termasuk hal keluarga namun ia sangat membantu daripada aspek emosi.
“Kami mendedikasikan lagu ini buat semua orang yang terpaksa berjauhan daripada keluarga, dikuarantin, dan menjalani rawatan Covid-19 sendirian.
“Kesimpulannya, semua yang berdepan masa sukar. Ia umpama sebuah peringatan buat semua bahawa segalanya akan kembali pulih semula seiring dengan masa,” katanya.
Mass Music mula ditubuhkan dan bergerak sejak 2016.
Memperjuangkan muzik hip-hop era baharu, misi penting kumpulan ini adalah untuk membawa angin muzik segar dan terkini dalam industri muzik tempatan.
Rangkaian karya mereka juga sentiasa pelbagai dan tersendiri baik lagu bertema ringan hingga gelap.
Diskografi mereka termasuk Practice Flex Mixtape pada 2016, MassMusic Vol.1 (2018), NOIR, Sevilla, dan IMSO (2019), ULANG, LAUT (2020), dan LUKA HATI (2021). Pernah membuat persembahan di acara besar termasuk Good Vibes 2018, Jameson Block Party 2019, YOLO Malaysia 2020, dan banyak lagi.
Lagu Di Sini boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, Youtube & Youtube Music.