Laman Utama
Masuk Hospital Kerana Alahan Teruk Hingga Sukar Bernafas, DJ Lin Terbuka Terima Perawatan Islam
Penyampai radio Suria FM, DJ Lin dimasukkan ke hospital selepas mengalami masalah alahan yang teruk sehingga mengganggu sistem pernafasannya.
Menurut Lin atau nama sebenarnya Roslinda Abdul Majid, 46, dia kini ditempatkan di dalam wad sebuah hospital pakar di Damansara selepas dinaiki bintat-bintat merah seluruh badan.
“Kak Lin dimasukkan ke hospital pada Selasa lepas sebab masalah alahan, tekanan darah pun tak stabil dan rasa macam melayang.
“Tak tahu kenapa elergi naik seluruh badan dan saya mula rasa sukar nak bernafas. Rasa macam saluran pernafasan tu sempit, tak selesa dan berbunyi.
“Doktor pasangkan oksigen untuk bantu permudahkan pernafasan. Doktor pun tengah periksa lagi. Kini ada empat doktor yang merawat saya iaitu dari bahagian dermatologist, neurologist, ENT dan physician,” ujar Lin ketika dihubungi Gempak.
Namun bagi penyampai radio yang popular dengan segmen Suria Cinta itu, dia bersyukur apabila disahkan negatif COVID-19.
“Memang masa kena masuk wad tu terus disuruh buat swab test dulu, Alhamdulillah result negatif, syukurkan bukan COVID-19.
“Cuma bila dah mula pakai oksigen ni dan susah nak bernafas, saya dapat bayangkan macam mana kesukaran yang dihadapi oleh mereka yang positif COVID tu yang kata susah bernafas dan perlu guna alat bantuan pernafasan,” jelasnya.
Malah, Lin terbuka untuk mencuba mana-mana perawatan Islam jika doktor tidak dapat mengenal pasti penyakit alahannya itu.
“Kalau ada mana-mana ustaz atau mana-mana pusat perubatan Islam yang nak cuba bantu saya, dipersilakan dan dialualukan,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Lin pernah beberapa kali dimasukkan ke hospital kerana masalah kesihatan yang tidak menentu.